Pelakon Salman Khan mengambil langkah mengetatkan kawalan keselamatan di kediamannya selepas berdepan ancaman dan insiden tembakan pada tahun lalu.
Antara yang dilakukan oleh Salman, 59, adalah memasang kaca kalis peluru di balkoni rumahnya yang juga sering menjadi tempat dia melambai peminat setiap kali musim perayaan.
Tambah Salman, tindakan ini diambil kerana dia berasa tidak selesa dengan peminat yang kerap memanjat kawasan tersebut.
Malah ada yang bertindak luar jangkaan tidur bermalam di situ.
“Bukan sekadar ancaman sahaja, tetapi lebih kepada menghalang peminat daripada memanjat balkoni dan masuk ke dalam rumah.
“Kadang-kadang saya menangkap peminat yang tidur di balkoni saya,” katanya memetik laporan India Today.
Pada April tahun lalu, Salman mendakwa menjadi sasaran kumpulan gangster yang diketuai Lawrence Bishnoi susulan kemelut yang berlaku antara mereka sejak beberapa tahun lalu.
Dalam kejadian tersebut, beberapa das tembakan dilepaskan di kediamannya.
Sebagai langkah keselamatan tambahan, Salman juga telah membeli sebuah kenderaan khas kalis peluru sebagai pelindung diri. – Agensi