Tuesday, October 22, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saluran paip minyak bocor di Singapura berjaya diatasi

    SINGAPURA, 21 OKT – Saluran paip minyak milik gergasi Britain, Shell, mengalami kebocoran kelmarin, kata pihak berkuasa Singapura dan syarikat itu, sambil menambah ia telah berjaya dihentikan dan kru pembersihan juga dikerahkan ke tempat kejadian.

    Kejadian itu bermula kelmarin di saluran paip yang beroperasi di antara dua buah pulau iaitu Bukom dan Bukom Kecil, kata Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) dalam satu kenyataan.

    “Kebocoran itu dilaporkan telah dihentikan di tempat ia bermula,” kata MPA.

    “Shell telah meletakkan boom pembendungan di luar tapak kebocoran dan juga telah menggunakan kraf yang dilengkapi dengan penyebar untuk membersihkan minyak di sekitar kawasan berkenaan,” tambahnya.

    Pihak berkuasa berkata, ia juga menghantar peralatan dan pasukan untuk membantu membersihkan bahan api, di samping mengaktifkan dron dan satelit bagi memantau kebocoran itu.

    “Agensi kerajaan yang berkaitan telah dimaklumkan dan melaporkan jika terdapat sebarang tumpahan minyak,” katanya.

    “Bagaimanapun, tiada tanda-tanda tumpahan minyak baharu setakat kelmarin,” tambahnya lagi.

    Shell merupakan pengendali kilang penapisan minyak utama di Bukom.

    MPA berkata ia telah mengeluarkan makluman keselamatan pelayaran kepada kapal yang lalu lalang supaya menjauhi tapak itu walaupun tiada kesan kepada keselamatan navigasi.

    Shell telah mengesahkan kebocoran yang dikatakan berlaku di Taman Tenaga dan Bahan Kimia Shell Singapura di Bukom. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda