WASHINGTON, 23 JULAI – Industri kewangan diberi amaran agar bersiap sedia hadapi krisis penipuan yang semakin berleluasa, berikutan kemampuan teknologi kecerdasan buatan (AI) meniru suara manusia untuk memintas sistem keselamatan dan memindahkan wang secara tidak sah.
Amaran berkenaan disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman, semasa berucap pada persidangan anjuran Federal Reserve yang berlangsung di Washington kelmarin.
“Satu perkara yang amat menakutkan ialah, masih terdapat institusi kewangan yang menggunakan pengecaman suara atau voiceprint sebagai kaedah pengesahan. Itu sesuatu yang sangat berbahaya. AI kini sudah boleh menewaskan sistem itu sepenuhnya,” tegas Altman.
Kaedah pengecaman suara mula diperkenalkan lebih sedekad lalu, khususnya dalam kalangan pelanggan bank berprofil tinggi,yang memerlukan pelanggan menyebut frasa tertentu untuk mengakses akaun melalui telefon.
Namun dengan kemajuan pesat teknologi AI, Altman menjelaskan bahawa voice cloning dan juga video cloning kini boleh meniru suara dan rupa manusia dengan ketepatan yang tinggi sehingga sukar dibezakan daripada realiti serta dia turut menegaskan untuk mencari kaedah pengesahan baharu.
“Itu mungkin satu bidang yang boleh kita fikirkan untuk bekerjasama,” ujar Naib Pengerusi Kewangan Federal Reserve, Michelle Bowman, yang menjadi hos dalam perbincangan bersama Altman pada masa itu. – AP
