Selepas memfailkan penceraian terhadap penyanyi Britney Spears, Sam Asghari didakwa tidak menerima sebarang tawaran pekerjaan.
Asghari yang juga merupakan ahli persatuan buruh SAH-AFTRA dilaporkan mogok pada awal musim panas lalu kerana pertikaian berterusan yang berlaku dengan sebuah syarikat produksi.
Menurut laporan Page Six, lakonan Sam menerusi siri drama Paramount+ yang berjudul Special Ops: Lioness gagal menarik penonton selepas tayangan perdana karpet merah drama berkenaan dibatalkan gara-gara mogok.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Toxic itu pula dikatakan tidak mempunyai kekangan bekerja kerana masih sibuk menguruskan kerjaya seninya.
Britney dilaporkan sedang menerbitkan memoirnya berjudul The Woman in Me yang dijadualkan bakal dilancarkan pada Oktober ini.
Sementara itu, sumber mendedahkan Asghari tidak akan menerima satu sen pun daripada anggaran AS$15 juta yang diberi kepada Britney untuk memoirnya itu.
NBC News melaporkan Sam juga sudah memfailkan penceraian terhadap Britney, selain sudah pun berpindah keluar daripada rumah mereka.
Asghari mendedahkan Britney curang terhadapnya yang menyebabkan dia memfailkan penceraian terhadap isterinya itu.
Malah Asghari turut mendakwa Britney menjalinkan hubungan sulit dengan salah seorang lelaki yang bekerja dengannya. – Agensi
