KUALA LUMPUR, 31 Mac – Mahkamah Tinggi hari ini menolak saman penyanyi terkenal tanah air Shila Amzah terhadap seorang wartawan hiburan dan dua pihak lain berhubung penerbitan artikel berunsur fitnah yang disiarkan dalam akhbar Kosmo! pada 17 Sept 2014.
Hakim Datuk Rosnaini Saub membuat keputusan itu selepas menerima pembelaan defendan bahawa artikel yang diterbitkan itu mengandungi ulasan saksama dan tidak berniat jahat.
Dalam penghakiman Rosnaini yang dibacakan Timbalan Pendaftar Erry Shariman Noor Arifin, mahkamah itu juga mendapati bahawa artikel yang diterbitkan Kosmo! adalah dibuat di bawah perlindungan bersyarat.
Dalam penghakiman setebal 33 muka surat mahkamah itu juga memutuskan bahawa Shila atau sebenarnya Nurshahila Amir Amzah sebagai selebriti perlu terbuka dalam menerima kritikan. Mahkamah juga memerintahkan Shila yang popular menerusi lagu duet ‘Selamanya Cinta’ membayar kos sebanyak RM20,000 kepada ketiga-tiga defendan iaitu wartawan hiburan akhbar Kosmo! Maliah Surip, 36, pengarang akhbar itu dan penerbit akhbar berkenaan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.
Shila yang diwakili peguam Mahendra Kumar dan syarikatnya, Shila Amzah Entertainment Berhad selaku plaintif memfailkan saman pada 16 Jan 2015.
Dalam pernyataan tuntutan, beliau mendakwa Maliah telah menulis beberapa artikel yang diterbitkan dalam akhbar Kosmo! antara lain mengaitkan konsert ‘Shila Amzah-Love Live in Malaysia’ di Mega Star Arena di sini pada 13 Sept 2014 ditaja oleh syarikat judi terbesar di negara ini dan beliau juga dikatakan memperlekehkan media Melayu.
Dakwanya, artikel itu ditulis berikutan terdapat satu status yang dimuat naik dalam laman web Instagram menggunakan nama akaun ‘Shilaamzah_photography’ pada 15
Sept 2014, yang secara amnya memuji pihak media khususnya media berbahasa Cina kerana membuat liputan meluas berkenaan konsert itu.
Penyanyi itu yang pernah mewakili negara bagi menyertai pertandingan nyanyian ‘Asian Wave Singing Competition’ di China pada 2012, mendakwa beliau tidak mengetahui pemilik akaun Instagram itu dan pemilik akaun Instagram berkenaan tiada kaitan syarikatnya, Shila Amzah Entertainment. – Bernama