Oleh Nurdiyanah R.
Sebut sahaja makanan laut sotong, mungkin para penggemarnya terbayang sotong masak merah, sotong bakar dan sambal sotong, di makan pula dengan nasi putih pastinya membuka selera. Namun kali ini wartawan Minda ingin berkongsi resipi istimewa lagi menarik iaitu Sambal Sotong Sumbat Bebola Ikan yang sudah setentunya boleh menggiurkan para penggemarnya untuk mencubanya.
“Sudah semestinya kesegaran dan kebersihan sotong dan bahan-bahan itu amat dititikberatkan sebelum menjalankan proses perapan dan pembakaran,” itulah yang dijelaskan oleh Haji Gana bin Haji Idris selaku salah seorang penjaja tempatan yang mengusahakan masakan istimewa tersebut apabila ditemui di salah sebuah gerai yang terletak Daerah Tutong baru-baru ini.
Beliau yang kini berusia 65 tahun ini telah menjelaskan bahawa bahan-bahan asas seperti bawang merah dan putih, halia, lada besar dan udang hidup perlu dikisar dan dimasak sehingga naik bau dengan garam dan gula secukupnya untuk dijadikan sambal khusus sebagai bahan perapan bagi sotong segar berkenaan.
Kemudian masukkan bebola ikan di dalam perut sotong menggunakan batang lidi satu per satu sebelum dijalankan proses perapan dalam masa setengah hari.
Adapun proses perapan ini amat penting supaya aroma sambal tersebut lebih meresap ke dalam sotong sumbat sehingga mampu menambahkan kenikmatan rasanya apabila dimasak dan dibakar pada tahap api yang sederhana.
Apabila tekstur sotong berubah menjadi lembut menandakan ia sudah siap sedia untuk dinikmati bersama nasi putih ketika makan tengahari atau malam bersama keluarga dan insan-insan tersayang.
Dengan harga berbaloi $5 untuk tiga cucuk, sotong sumbat itu boleh didapati bagi yang berhasrat membeli atau menempahnya daripada Haji Gana dari Syarikat Haji Gana Enterprise yang kini menetap di Perpindahan Kampung Bukit Beruang bersama ahli keluarga beliau, yang juga merupakan insan-insan yang amat bersemangat tinggi membantu menjalankan perniagaan syarikat dari semasa ke semasa.

