Oleh Amri HTZ
Pada zaman prasekolah, setentunya kita pernah melakukan aktiviti menyambung titik-titik menjadi sebuah lukisan berupa bunga, haiwan dan sebagainya.
Ia dilakukan sebagai literasi awal untuk perkembangan kanak-kanak yang perlu disediakan dan diterapkan bagi menghadapi dunia sebenar.
Melihat kepada keunikan yang terhasil daripada aktiviti tersebut, siapa menyangka ia boleh dijadikan sebagai sebuah perhiasan untuk dinding ruangan rumah sekali gus mengimbas kembali waktu persekolahan setiap pemerhatinya.
Barangan
Bagi mereka hiasan dinding diperbuat daripada kayu, besi dan tali ini, beberapa barangan penting yang perlu disediakan ialah tali jenis paracord (pilihan), sekeping papan berukuran 12 inci lebar, besi U-channel, gerudi, pensel penanda, mesin grinder, pemotong kayu, wood oil, kertas pasir atau ketam kayu, pita pengukur, center punch, pahat kayu, pita perekat, mesin pencetak dan komputer.
Langkah
Bagi langkah pertama pembuatan, papan yang telah disediakan perlu diratakan permukaannya menggunakan mesin ketam kayu atau kertas pasir. Langkah ini adalah bagi memastikan rekaan kelihatan lebih cantik dan profesional. Selain itu, proses mengetam kayu juga bertujuan meratakan ketebalan kayu agar ia sama rata apabila dipotong menjadi bahagian kecil dan dicantumkan bersama.





Bagi anda yang lebih memilih permukaan kayu yang agak kasar, dalam keadaan asal ketika ia terjual, perlu pastikan permukaan kayu tersebut tidak memiliki permukaan yang menajam kerana ia mungkin boleh mendatangkan kecederaan ketika mengendalikannya. Untuk memastikan ia tidak berlaku, buangkan permukaan kayu tersebut menggunakan pahat kayu.
Setelah permukaan kayu diratakan, papan tadi akan dipotongkan menjadi tiga bahagian dengan setiap bahagian mempunyai kepanjangan 12 inci. Tandakan kawasan pemotongan menggunakan pita pengukur dan pensel sebelum memulakan proses pemotongan.
Dua daripada potongan kayu tersebut akan dijadikan permukaan bagi menempatkan paracord yang disulam menerusi lubang-lubang yang ditebuk sekali gus mereka imej yang dimahukan. Gunakan templat yang telah dicetak menggunakan mesin pencetak dan lekatkan sementara pada permukaan papan tersebut menggunakan pita perekat. Titik-titik yang terdapat pada templat yang dilekatkan akan ditebuk menggunakan mesin gerudi dengan mata yang bersesuaian.
Manakala bagi lebihan papan yang telah dipotongkan tadi akan dijadikan bahagian tengah perhiasan tersebut. Untuk menjadikan rekaan lebih unik, papan pada bahagian tengah akan direka dengan permukaan sisi yang nampak natural seperti permukaan luar kayu yang asli. Caranya, gunakan sebilah kapak untuk membelahnya menjadi dua bahagian. Tandakan bahagian tengah papan menggunakan pita pengukur dan belah papan tersebut perlahan-lahan pada bahagian yang telah ditandakan. Bagi permukaan kayu yang menajam (di bahagian kayu yang dibelah) ratakan permukaan tersebut menggunakan pahat kayu sehingga meniru permukaan luar kayu yang halus tetapi berombak.
Kesemua bahagian kayu yang telah dipotong menjadi bahagian tertentu ini akan disapukan permukaannya menggunakan wood oil. Selain bagi melindungi kayu, wood oil yang digunakan ini juga memberikan warna permukaan yang lebih menarik dan menimbulkan ira-ira kayu yang terdapat pada permukaannya.
Sementara bagi rangka luar perhiasan tersebut, besi U-channel yang telah disediakan akan dipotongkan dengan kepanjangan 41 inci. Besi yang telah dipotongkan ini akan ditebuk dengan lubang untuk memasukan skru bagi menempatkan papan-papan tadi. Daripada bahagian hujung besi, jarak yang perlu ditandakan dan ditebuk adalah 2″, 10″, 14″, 27″, 31″ dan 39″. Lakukan langkah yang sama pada batang besi yang satu lagi dengan menebuk lubang pada jarak yang sama. Sebelum memulakan proses penebukan, gunakan center punch pada kawasan yang telah ditandakan bagi memastikan mata gerudi yang digunakan nanti mampu menebuk tepat pada bahagian tersebut (berfungsi sebagai panduan mata gerudi).
Permukaan kayu yang telah disapukan wood oil dan siap ditebuk menerusi templat yang telah digunakan tadi akan ‘disambung titik’ dengan cara memasukkan paracord mengikut tempatnya. Sulaman paracord mengikut lubang ini meniru teknik lukisan sambung titik-titik yang pernah kita lakukan pada zaman prasekolah dahulu.
Langkah terakhir adalah menebuk bahagian rangka (besi U-channel) bagi mereka lubang untuk menggantungkannya di dinding dan mencantumkan papan-papan tadi menggunakan skru dengan memberikan jarak pada bahagian tengah (kayu yang dibelah) lebih kurang 5″. Dengan memilih ruangan yang bersesuaian, karya unik yang dihasilkan tersebut mampu menjadi salah satu tarikan para pemerhatinya yang mengunjungi rumah ada.
Selain mampu mengimbas kenangan sewaktu melakukan aktiviti sambung titik-titik di sekolah, awda juga boleh menceritakan proses rekaan kepada mereka!