Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sambungan internet beri keselesaan pelanggan dalam penerbangan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – RB SkyConnect, perkhidmatan sambungan dalam penerbangan baharu Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) yang dikuasakan oleh SES, sistem pelbagai orbit canggih telah dilancarkan secara rasmi hari ini, menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha transformasi digital syarikat penerbangan nasional itu.

    Majlis pelancaran berkenaan diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Juanda bin Haji Abdul Rashid juga selaku Pengerusi RB.

    Hadir sama ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Pengerusi RB, Dato Seri Paduka Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos; ahli-ahli Lembaga Pengarah RB, pihak pengurusan, rakan kongsi serta wakil media.

    RB SkyConnect menawarkan sambungan internet berkelajuan tinggi yang stabil dan boleh dipercayai kepada para penumpang sepanjang penerbangan mereka, membolehkan mereka bersembang, melayari internet, bekerja dan strim kandungan dengan lancar sama ada di darat mahupun di udara.

    Dikuasakan oleh sistem pelbagai orbit canggih SES, perkhidmatan itu disambungkan kepada satelit orbit geostationary dan orbit rendah bumi bagi memastikan sambungan berterusan di seluruh rangkaian laluan RB. Sistem ini menggunakan antena electronically steered array yang memberikan prestasi tinggi serta kebolehpercayaan maksimum.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Juanda, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary dan Kapten Sabirin semasa melancarkan RB SkyConnect, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Juanda dan Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary menyaksikan pameran yang diketengahkan semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Kapten Sabirin semasa menyampaikan ucapan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Pemasangan pertama sistem RB SkyConnect telah berjaya disiapkan di Brunei pada salah satu pesawat Airbus A320neo RB oleh pasukan kejuruteraan RB, termasuk Bahagian Avionik dan Struktur dengan sokongan daripada SES. Pemasangan bagi semua pesawat A320neo dijangka siap sepenuhnya menjelang Mei 2026.

    Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid berkata, “Kami berbangga memperkenalkan RB SkyConnect yang mewakili generasi baharu sambungan dalam penerbangan untuk para tetamu kami. Teknologi ini bukan sahaja menetapkan penanda aras baharu bagi internet dalam penerbangan, malah mencerminkan komitmen kami terhadap inovasi dan penyampaian pengalaman terbaik kepada para tetamu di rantau ini.

    “Dengan RB SkyConnect, para penumpang kini boleh terus berhubung sama ada untuk berkomunikasi dengan keluarga, menyiapkan tugasan kerja atau strim hiburan kegemaran mereka sepanjang penerbangan di rantau Asia Pasifik,” jelas beliau.

    Naib Presiden Jualan Penerbangan SES, Enrique Villasenor pula berkata, “Dengan menjadi syarikat penerbangan pertama di Asia yang menggunakan sambungan dalam penerbangan pelbagai orbit, RB memberikan penumpang pengalaman internet yang pantas dan boleh diharap seperti di rumah, di mana sahaja mereka terbang. Kami berbesar hati kerana RB memilih SES untuk menetapkan piawaian baharu dalam pengalaman perjalanan yang berhubung.”

    Bermula 18 November ini, pengalaman kekal berhubung di atas awan tidak lagi menjadi satu kemewahan, tetapi sebahagian daripada pengalaman penerbangan RB. Pelancaran RB SkyConnect sekali lagi mengukuhkan kedudukan RB sebagai syarikat penerbangan serantau terkemuka yang menumpukan pada keselesaan penumpang, inovasi dan kecemerlangan perkhidmatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda