BAITULMAQDIS, 29 OKT – Sambungan internet di Semenanjung Gaza sedang dipulihkan, kata pemerhati rangkaian global, Netblocks hari ini, hampir dua hari selepas terputus semasa serangan berat oleh Israel.
“Data rangkaian dalam masa nyata menunjukkan bahawa sambungan internet sedang dipulihkan di Semenanjung Gaza,” syarikat itu menulis di X.
Seorang pekerja AFP di Bandar Gaza mengatakan bahawa, sebaik sahaja selepas pukul 4 pagi dia boleh menggunakan internet dan telah berjaya menghubungi orang di selatan Gaza melalui telefon.
Akses internet dan telefon telah terputus di seluruh Gaza sejak Jumaat, ketika Israel melancarkan serangan ke atas kawasan tersebut.
Israel melancarkan kempen pengeboman besar-besaran selepas pejuang Hamas menyerbu merentasi sempadan Gaza pada 7 Oktober, membunuh 1,400 orang, kebanyakannya orang awam dan menawan 230 tebusan, menurut pegawai Israel.
Sejak itu, serangan berterusan Israel ke atas Gaza telah membunuh lebih 8,000 orang, separuh daripadanya kanak-kanak, kata kementerian kesihatan yang dikawal Hamas kelmarin.
Bulan Sabit Merah Palestin berkata, kehilangan talian komunikasi telah menyekat panggilan kecemasan dan mengganggu perkhidmatan ambulans yang penting. – AFP

– AFP

