Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Hari Raya Aidilfitri adalah hari yang dianugerahkan Allah SWT kepada hambaNya yang berjaya menjadikan Ramadan sebagai didikan kerohanian.
Kalimah ‘fitri’ bermaksud fitriah iaitu kejayaan manusia kembali kepada fitrah yang asal, dilahirkan bersih dari dosa dan Allah mengurniakan hari yang istimewa yang dilimpahi keriangan.
Dalam khutbah sempena Hari Raya Aidilfitri, khatib menegaskan bahawa sambutan Aidilfitri harus dilakukan dalam landasan syariat Islam dengan rasa kehambaan dan ketakwaan yang dibina di bulan Ramadan. Kegembiraan itu harus dizahirkan dengan mengagungkan Allah dengan bertakbir, bertahmid, dan bertasbih, menjadi lambang perubahan diri untuk terus istiqamah melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran.
Sambutan Aidilfitri juga harus dijalankan dengan menguatkan hubungan silaturahim dengan menyemai rasa kasih sayang dan perpaduan sesama manusia. Selain itu, umat Islam juga perlu memperbanyakkan sedekah, menghulurkan bantuan kepada fakir miskin, memberikan kasih sayang kepada anak yatim, menghormati orang tua yang semakin uzur di usia tua, menunaikan zakat harta, dan membantu golongan yang memerlukan.
Dalam suasana menyambut Aidilfitri, ziarah-menziarahi sepanjang Syawal juga merupakan kebiasaan yang diharuskan dalam Islam. Ziarah-menziarahi harus dijalankan dengan bermaaf-maafan, memohon maaf zahir dan batin, dan merupakan sifat terpuji yang perlu dilakukan sepanjang masa.
Khatib turut mengingatkan umat Islam untuk berusaha menjadi seorang pemaaf dan saling berlapang dada dalam menghulurkan kemaafan. Memaafkan bererti mengambil sikap berlapang dada dan meninggalkan perkara yang membawa kepada permusuhan dan pertelingkahan antara satu sama lain. Memohon kemaafan daripada orang yang pernah disakiti atau dizalimi adalah penting bagi setiap manusia sebelum dosa mereka dapat diampunkan oleh Allah.
Sempena Hari Raya Aidilfitri, khatib menyeru umat Islam untuk saling memohon dan menerima kemaafan, dan pujuklah hati untuk melupakan segala kemarahan dan dendam yang tersimpan selama ini. Dengan itu, umat Islam akan mendapat keampunan dari Allah, dipermudahkan segala urusan, hidup dalam keadaan yang harmoni, bersatu padu dan berkasih sayang.


