Monday, April 14, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sambut Aidilfitri mengikut syariat Islam

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menegaskan bahawa Aidilfitri seharusnya disambut mengikut syariat Ugama Islam bagi mengukuhkan lagi perpaduan dan silaturahim yang bermula di peringkat keluarga, jiran tetangga, rakan taulan dan masyarakat pada amnya.

    Baginda berkenan menyampaikan titah sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Fitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas kelmarin.

    Dalam titah Baginda seterusnya mengingatkan, amalan baik ini perlu diteruskan untuk menyuburkan lagi perpaduan dan sikap hormat menghormati serta amalan bantu-membantu di kalangan masyarakat.

    Baginda dalam titahnya turut menyambut baik tema sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan tahun ini iaitu Perpaduan Masyarakat Dalam Mencapai Aspirasi Negara.

    Menurut Baginda, perpaduan memang sangat penting dalam memastikan negara aman dan harmoni serta pembangunan dapat berjalan lancar dan berjaya dan kerana itu, tegas Baginda, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan dan mengekalkan keamanan dan keharmonian itu.

    Baginda turut mengalu-alukan kehadiran peserta yang terdiri daripada beberapa kumpulan masyarakat yang dilihat memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat dan negara di mana usaha dan inisitaif mereka ke arah memperkasa pembangunan amatlah dihargai.

    Titah Baginda lagi, “Tidak dinafikan, zaman yang kita lalui sekarang telah dan sedang mempengaruhi sebahagian besar gaya hidup kita, namun kita tetap dituntut untuk mengekalkan tradisi sosial yang diwarisi sejak turun temurun dan ia tidak boleh lenyap dalam era dan arus moden”.

    “Sikap dan nilai berawar galat orang Brunei, saling hormat menghormati, sayang-menyayangi, bertolak ansur dan saling bantu-membantu adalah perlu dikekalkan dan tidak boleh sumbing, apatah lagi hilang,” tegas Baginda.

    Dalam masa yang sama, titah Baginda lagi, kita tidak dapat menyangkal kesan globalisasi terhadap pembangunan dan sosioekonomi, dan di sinilah perlunya ketua-ketua masyarakat dari pelbagai peringkat untuk mengambil langkah positif dengan mengadaptasi kemajuan lebih berkesan untuk negara.

    “Semua diambil kira mengikut aliran zaman dan pendekatan juga hendaklah praktikal serta bersesuaian,” ujar Baginda.

    Baginda seterusnya bertitah ingin melihat semua usaha dapat diperluaskan melalui program-program lebih teratur dan berkesan untuk membawa negara mencapai kemajuan yang sempurna sebagaimana dihasratkan oleh Wawasan Brunei 2035.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menyampaikan titah di Majlis Sambutan Hari Raya  anjuran Yayasan kelmarin. – Gambar Rafi Rosli
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda