Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 DIS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kelmarin, telah berkenan berangkat menghadiri Working Lunch bersama Perdana Menteri Jepun, Tuan Yang Terutama Fumio Kishida yang berlangsung di Prime Minister’s Office, Tokyo.
Berangkat mengiringi Baginda Sultan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Semasa Working Lunch berkenaan, Baginda berkenan mengurniakan titah, di mana Baginda merakamkan penghargaan kerana dapat mengadakan keberangkatan rasmi ke Jepun pada acara sampingan Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Jepun, dan seterusnya menyampaikan ucapan tahniah kepada TYT Fumio Kishida dan kerajaan Jepun selaku tuan rumah kepada sidang kemuncak komemoratif berkenaan.
Menyentuh mengenai hubungan persahabatan Negara Brunei Darussalam dan Jepun yang akan menyambut ulang tahun ke-40 pada 2024, Baginda menyambut baik untuk meneruskan lagi usaha-usaha dalam meningkatkan lagi hubungan muhibah dan persahabatan antara kedua-dua buah negara dan rakyat.
Dalam hal ini, Baginda menjemput Tuan Yang Terutama dan isteri, Yuko Kishida untuk mengadakan Lawatan Rasmi ke Negara Brunei Darussalam, sekali gus menyampaikan ucapan selamat maju jaya kepada Tuan Yang Terutama dan kerajaan Jepun dalam menganjurkan World Expo 2025 di Osaka nanti.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Tuan Yang Terutama juga berharap hubungan persahabatan yang penting antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun dapat diperkukuhkan lagi melalui keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri ke Jepun pada Mac 2024 nanti.
Baginda menekankan bahawa keberangkatan itu nanti adalah tepat pada masanya kerana kedua-dua buah negara akan menyambut Ulang Tahun ke-40 Hubungan Diplomatik dan Tahun Persahabatan Brunei-Jepun tahun hadapan.
Baginda Sultan dan Tuan Yang Terutama turut menyambut baik pemeteraian Memorandum Kerjasama antara Jabatan Perdana Menteri Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun bagi Merealisasikan Peralihan Tenaga semasa keberangkatan rasmi Baginda ke Jepun berkenaan, dalam mengukuhkan lagi kerjasama dalam bidang tenaga antara kedua-dua buah negara.
Selain itu, Baginda juga melahirkan penghargaan atas sokongan berterusan Jepun terhadap Pusat Perubahan Iklim ASEAN, serta dalam Program Pertukaran Rangkaian Pelajar dan Belia Jepun-Asia Timur (JENESYS), Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) dan biasiswa Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi (MEXT) dalam memupuk persahabatan dan persefahaman lebih baik, yang mana perkara-perkara tersebut turut ditekankan oleh TYT Fumio Kishida.
Di samping itu, bidang-bidang kerjasama dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun seperti pertahanan dan keselamatan maritim serta perkara-perkara serantau dan antarabangsa termasuk perkembangan Hubungan Dialog ASEAN-Jepun serta situasi di Palestin turut dibincangkan.
Pada penghujung Working Lunch, satu kenyataan akhbar bersama antara Brunei dan Jepun telah dikeluarkan.
Hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun ditubuhkan pada 2 April 1984 di mana kedua-dua buah negara mempunyai hubungan yang mesra melalui kerjasama yang baik dalam bidang tenaga, perdagangan dan pelaburan, pendidikan dan pertukaran antara rakyat.

