Sunday, July 7, 2024
22 C
Brunei

    -

    Sambut dhuyuf al Rahman ikut adab

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Tidak lama lagi jemaah haji Negara Brunei Darussalam akan kembali dari Mekah Al-Mukarramah.

    Pada lazimnya, keluarga dan sanak saudara akan bersiap sedia mengalu-alukan kepulangan dengan penuh rasa syukur dan gembira.

    Ketika membuat persediaan menyambut ketibaan dhuyuf al Rahman itu, khatib mengingatkan supaya sambutan yang diadakan hendaklah bersesuaian dan tidak bercanggah dengan ajaran agama Islam.

    Dalam khutbah Jumaat hari ini bertajuk Menyambut Ketibaan Dhuyuf Al Rahman, khatib menegaskan bahawa dalam agama Islam ada diajarkan adab ketika menyambut kepulangan jemaah haji.

    Antaranya disunatkan bagi jemaah haji yang pulang itu singgah ke masjid yang dekat dengan rumahnya bagi mendirikan sembahyang sunat sebelum menjejakkan kaki ke rumahnya.

    GAMBAR FAIL MUIZ MATDANI

    Selain itu, disunatkan juga untuk bersalaman, berjabat tangan dan berpelukan sebelum jemaah haji memasuki rumah, sambil mengucapkan, ‘semoga Allah menerima ibadat haji mu dan mengampuni dosa mu serta menggantikan perbelanjaan mu’.

    Khatib turut mengingatkan, dalam bersalaman dan berpelukan hendaklah antara lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan sahaja.

    “Walaupun antara lelaki dan perempuan tersebut ada hubungan mahram, ini kerana tidak manis dan tidak elok ia dilakukan di khalayak ramai dan dikhuatiri akan menimbulkan fitnah,” jelasnya.

    Jangan masuk rumah dari bahagian belakang rumah, tetapi hendaklah masuk dari pintu hadapan rumah tersebut dan apabila hendak masuk ke dalam rumah, jemaah haji adalah disunatkan membaca doa.

    Selain itu, jelas khatib, bagi mereka yang menyambut ketibaan dhuyuf al Rahman, sebaiknya meminta kepada mereka yang baharu pulang dari menunaikan ibadat haji itu untuk mendoakan, kerana doa jemaah haji itu sangat dinilai istimewa kerana menerima pengampunan daripada Allah.

    Khatib menambah, adalah elok bagi keluarga dan saudara-mara jemaah haji menyediakan walimah atau kenduri secara sederhana bagi merayakan dan menyambut keluarga yang baharu pulang daripada mengerjakan ibadat haji dengan mengikut kemampuan masing-masing sebagai tanda syukur.

    Dengan ketibaan kaum keluarga atau saudara-mara yang telah menunaikan ibadah haji, mudah-mudahan dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan, di samping melahirkan rasa penuh syukur kerana dapat menyambut mereka mengikut apa yang diajarkan oleh agama Islam dan menjauhi segala perkara yang bertentangan dengan akidah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sidang Kemuncak SCO alu-alukan keahlian Belarus

    ASTANA, 5 JULAI – Sidang Kemuncak Majlis Ketua-ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ke-24 yang berakhir kelmarin menyaksikan pencapaian luar biasa, termasuk penerimaan Deklarasi...