Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34 tahun, Kedutaan Brunei Darussalam di Jeddah, Arab Saudi turut meraikan sambutan tersebut di kedutaannya semalam.
Hadir dalam sambutan tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Dato Seri Setia Haji Yusoff bin Haji Ismail bersama Pemangku Konsul Agong Negara Brunei Darussalam di Jeddah, Pengiran Haji Irman bin Pengiran Haji Othman dan rakyat serta para petugas Brunei yang berada di Kota Jeddah.
Acara tersebut dimulakan dengan sembahyang Fardu Maghrib diikuti sembahyang Sunat Hajat berjemaah dite-ruskan dengan Doa Kesyukuran sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam. Acara yang diadakan setiap tahun di Konsulat Agung Negara Brunei Darussalam di Jeddah itu bertujuan untuk sama-sama menyambut dan memeriahkan lagi sambutan hari kebangsaan negara ini.
