Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 2 Julai – Lebih 400 orang murid Pra hingga Tahun 6 Sekolah Persatuan Tanjong Maya (Pertama), Tutong menyambut Hari Raya Aidilfitri semasa majlis sambutan yang diadakan di sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri tersebut merupakan salah satu aktiviti tahunan sekolah tersebut bagi memeriahkan lagi bulan Syawal dan untuk bermaaf-maafan serta mengeratkan hubungan silaturahim warga sekolah.
Acara dimulakan dengan nyanyian ‘Selamat Hari Raya’ beramai-ramai seterusnya guru-guru dan kakitangan mengunjungi setiap kelas bagi beramah mesra dan menikmati juadah yang dihidangkan oleh murid-murid dan guru kelas.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Guru Besar Sekolah Pertama, Dayang Noorhakymah binti Abdullah.


Sementara itu, Sekolah Nusa Jaya (SNJ) cawangan Keriam juga mengadakan majlis serupa di sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Ketua Pentadbir SNJ Keriam, Pengiran Hajah Sharriffah Hidayat binti Pengiran Dr Haji Amir Muhammad Yussof bersama para guru dan kakitangan SNJ Keriam.
Majlis sambutan dimeriahkan dengan beberapa persembahan nyanyian oleh murid-murid sekolah seperti ‘Ceria Hari Raya’, ‘Meriahnya Hari Raya’, ‘Balik Kampong’ dan ‘Raya Nusantara’.
Sambutan Hari Raya Aidilfitri sudah pasti memberikan keceriaan kepada murid-murid dan guru-guru sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara warga sekolah sambil bermaaf-maafan.