Wednesday, January 29, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sambut raya gaya MPK Belimbing

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar serahan MPK Belimbing

    Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri masih lagi dapat dirasakan di seluruh negara.

    Ahli keluarga, sahabat handai turut mengambil kesempatan di bulan Syawal ini untuk menziarahi antara satu sama lain bagi mengeratkan silaturahim.

    Kebiasaannya, orang ramai akan menyambut Hari Raya dengan mengadakan rumah terbuka atau pejabat terbuka dengan pelbagai konsep sambutan yang menceriakan sekali gus memberi kena-ngan terindah buat tetamu yang hadir.

    Namun, sambutan kali ini pula sedikit berbeza bagi Majlis Perundingan Kampung (MPK) Belimbing yang telah mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan konsep yang lebih dekat dengan alam sekitar yang mana sambutan diadakan di pondok-pondok Taman Riadah Tasik Sarubing, baru-baru ini.

    Bertemakan ‘Dari Lemang ke Ambuyat’, sambutan kali ini turut dianjurkan bersama Management and Science University Malaysia (MSU).

    Awang Abdul Walid ketika merasmikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri MPK Belimbing, baru-baru ini.
    Tetamu kehormat bersama tetamu-tetamu khas yang lain semasa mengunjungi pondok Hari Raya yang diadakan di taman berkenaan.

    Perasmian tong 3R yang disumbangkan oleh MSU.
    Suasana semasa Pertandingan Membakar Lemang.

    Jika sebelum ini sambutan diadakan di kawasan letak kereta taman berkenaan, kali ini, ia diadakan di kawasan pondok taman tersebut.

    Pada majlis itu, Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Abdul Walid bin Haji Matasan, selaku tetamu kehormat telah merasmikan SDG-3R (Recycle, Reuse, Reduce) dan seterusnya merasmikan Sambutan Hari Raya di taman berkenaan.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah.

    Kesepakatan

    Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Daud bin Jihan selaku Ketua Kampung Belimbing ketika dihubungi oleh pihak media menjelaskan, di samping mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di taman berkenaan, ia turut diisi dengan Community Engagement Brunei Chapter Siri Dua oleh MSU yang merupakan kesinambungan daripada Siri Satu yang diadakan pada tahun lepas.

    Katanya, projek itu telah melibatkan pusat tingkatan enam dan sekolah-sekolah menengah dari 14 buah sekolah.

    Selain itu, sambutan turut dimeriahkan dengan beberapa aktiviti seperti Pertandingan Membakar Lemang dan Menumpah Ambuyat yang melibatkan para penduduk kampung dan kakitangan MSU.

    Beliau seterusnya menjelaskan, projek ini telah mendapat sambutan menggalakkan sekali gus mendatangkan kegembiraan kepada para penduduk dan warga MSU.

    “Projek ini diharap akan menjadi pemangkin kepada hubungan kekeluargaan yang lebih erat dan akrab dalam kalangan penduduk kampung dan juga warga MSU dan akan diadakan pada tahun akan datang,” tambahnya.

    Penglibatan MSU

    Penglibatan MSU dalam majlis ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pembelajaran di luar kelas selain memupuk semangat kepimpinan dan keupayaan berfikir.

    Di samping itu, program tersebut juga dapat membantu menangani isu gejala kesihatan mental dalam kalangan pelajar dan memupuk semangat kerja berpasukan melalui penglibatan mereka dalam melaksanakan aktiviti komuniti yang telah diaturkan.

    Pendedahan

    Dengan adanya program itu, ia dapat memberi kesedaran dan kepentingan untuk menghargai keindahan alam sekitar, selain memperkenalkan universiti tersebut sebagai hab pendidikan secara global selaras dengan objektif pengantarabangsaan MSU.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda