Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sambutan 110 tahun penghijrahan warga Jepun ke Brazil

    SAO PAULO – Apabila Eiki Shimabukuro, ketika itu dia berusia lapan tahun, meninggalkan Jepun dalam tahun 1959 bersama ibu bapa dan lima orang adik beradiknya bagi mengharungi pelayaran lautan selama dua bulan menuju Brazil, para penumpang diberikan reben yang menghubungkan mereka dengan yang ditinggalkan.

    Apabila kapal mula belayar jauh, reben akan meregang, terurai dan akhirnya putus.

    “Itu adalah hubungan terakhir, pemandangan yang sangat menyentuh jiwa,” ujar Shimabukuro, kini berusia 67 tahun.

    Keluarga itu mengikut berpuluh-puluh ribu warga Jepun yang telah berhijrah ke Brazil sejak awal abad ke-20.

    Dan baru-baru ini, Puteri Mako, cucunda perempuan kepada Maharaja Akihito Jepun membuat perjalanan jauh ke Brazil untuk melawat lebih 12 buah bandar yang mempunyai simbol warisan Jepun dan untuk meraikan ulang tahun ke-110 pelayaran pertama para perintis.

    Eiki Shimabukuro semasa ditemu bual oleh AFP di Sao Paulo, Brazil, baru-baru ini. – AFP
    Osamu Matsuo. – AFP
    Yoshiharu Kikuchi ketika ditemu bual oleh AFP di Sao Paulo. – AFP

    Kumpulan besar pertama seramai 781 orang warga Jepun, kebanyakannya petani, tiba di pelabuhan Santos di negeri Sao Paulo pada Jun 1908 menaiki kapal kargo dan penumpang, Kasato Maru.

    Dibelenggu hutang selepas pengindustrian Jepun, para penghijrah mengharapkan pekerjaan baharu dalam penanaman kopi Amerika Selatan yang berdepan kekurangan pekerja.

    Hari ini, Brazil memiliki komuniti terbesar ‘nikkei’, gelaran bagi para penghijrah Jepun dan juga keturunan mereka, di dunia, dengan bilangan 1.9 juta orang.

    Pemusnahan dan kemiskinan yang disebabkan oleh Perang Dunia II telah mencetuskan satu lagi gelombang penghijrah untuk lari dari penderitaan di tanah air mereka.

    “Selepas peperangan Jepun berada dalam situasi sukar, saya datang ke Brazil pada usia 19 tahun, bersendirian dan penuh dengan harapan,” kata Yoshiharu Kikuchi, 78 tahun.

    Berasal dari utara Jepun, dalam beberapa tahun pertama di Brazil, dia menghabiskan masanya mengusahakan tanah, sebelum berpindah ke Sao Paulo pada tahun 1965.

    “Segala apa yang kami raih adalah yang amat sukar diperolehi,” ujarnya. “Banyak yang telah saya pelajari di sini.”

    Hari ini kebanyakan masyarakat nikkei telah berintegrasi dengan baik dalam masyarakat Brazil. Tetapi generasi pertama berdepan dengan prejudis ketara, terutamanya dalam awal abad ke-20 ketika arus kebencian orang Barat terhadap orang asing, yang digelar ‘yellow peril’ (orang Asia).

    Kikuchi yang mempunyai dua orang anak dan lima orang cucu, yang lahir di Brazil berkata dia tidak berhasrat untuk kembali ke Jepun.

    Dalam usia persaraannya, dia menjadi sukarelawan bagi beberapa pertubuhan, salah sebuahnya yang menggunakan kaedah Jepun untuk membantu kanak-kanak autisme.

    “Kehidupan terbuka bagi kita apabila kita membantu yang lain,” ujarnya.

    Ibu Rumi Kusumoto tiba di Brazil bersama keluarganya dalam tahun 1910-an. Selepas menamatkan pengajiannya, dia kembali untuk melawat namun terkandas di kepulauan itu ketika peperangan. Dia berkahwin dan mempunyai empat orang anak di Fukuoka, sepanjang masa amat merasakan ‘saudade’, istilah Portugal yang membangkitkan nostalgia dan kesayuan.

    Harumi Goya. – AFP
    Rumi Kusumoto. – AFP

    Rumi Kusumoto masih ingat bagaimana ibunya akan memasak makanan yang dipengaruhi masakan Brazil. Akhirnya dia pulang dalam tahun 1962 bersama keluarga baharunya.

    “Saya dilahirkan untuk menjalani kehidupan di luar Jepun,” ujar Kusumoto. “Saya pantas terbiasa untuk berubah dan saya tidak fikir akan kembali.”

    Namun bagaimanapun takdir menentukan. Dalam tahun 1970-an, dia diupah sebagai penterjemah bagi seorang lelaki Jepun untuk urusan perniagaan.

    “Pada hari terakhir, dia menjemput saya makan malam dan melamar saya,” ujarnya lagi.

    Pasangan ini berbalas-balas surat sehingga Kusumoto pergi ke Tokyo bagi hari perkahwinan mereka. Namun pengembaliannya ke negara asalnya berlaku dengan kejutan budaya.

    “Sebaik saja sepucuk surat tiba dari Brazil, suami saya bersedia dengan sapu tangan, katanya. “Dia tahu saya akan menangis.”

    Hari ini kehidupannya dibahagikan antara Jepun, Brazil dan AS, yang mana dua orang anaknya tinggal di situ. Namun dia menyedari di mana asal usulnya.

    “Saya lebih dikaitkan dengan Brazil,” ujarnya. “Ia adalah negara yang membuka semua pintu untuk saya.”

    Ketika kecil tiba di Brazil, Eiki Shimabukuro mendapati dirinya sendiri tertawan: “Saya tidak pernah melihat begitu ramai warga asing,” dia mengingatinya dengan senyuman.

    Selama beberapa tahun dia bekerja sebagai petani, sebelum meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan dan kemudian mendapat pekerjaan di sebuah syarikat minyak kerajaan, Petrobras.

    Dalam tahun 1984, dia mendapat biasiswa untuk belajar selama tiga bulan di Jepun.

    “Meskipun saya lahir di situ, saya merasa terkejut,” katanya. “Segalanya teratur dan dirancang, amat berbeza dari Brazil.” Hari ini, di Brazil, dia tidak merancang untuk pulang ke kepulauan itu. Akan tetapi tinggal di negara kelahirannya telah menanamkan nilai-nilai tertentu dalam dirinya, ujarnya.

    “Di Brazil, banyak yang telah kami belajar dari Jepun, dari segi kejujuran, etika dan moral,” katanya.

    “Terdapat nilai-nilai sangat positif yang boleh kita gabungkan di sini.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda