Monday, March 17, 2025
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sambutan Aidiladha eratkan silaturahim

    Oleh Ak Zaki Kasharan, Daniel Lim, Salawati Haji Yahya & Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – Sambutan Hari Raya Aidiladha di Negara Brunei Darussalam telah memasuki hari ketiga, hari ini, dan banyak pihak yang tidak melepaskan peluang untuk melaksanakan ibadah korban.

    Universiti Brunei Darussalam (UBD) adalah antara yang tidak melepaskan peluang mengadakan majlis ibadah korban dan akikah yang dikendalikan oleh warga UBD bersama Jawatankuasa Takmir Masjid Universiti, UBD.

    Majlis diadakan secara sesi iaitu sesi pengagihan kepada peserta dan sesi pengagihan kepada orang awam secara pandu lalu bermula jam 10 pagi di Masjid Universiti.

    Sebanyak 15 ekor lembu dan dua ekor kambing telah dikorbankan berdasarkan pendaftaran yang diterima yang melibatkan seramai 104 orang peserta majlis berkenaan, di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz.

    Golongan belia juga tidak ketinggalan menyemarakkan Sambutan Hari Raya Aidiladha apabila lebih 80 orang belia menjayakan majlis ibadah korban anjuran Majlis Belia Brunei dan pergerakan belia di dalamnya, kelmarin.

    Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina semasa menyempurnakan majlis penyampaian agihan ibadah korban yang berlangsung di perkarangan Masjid Universiti, UBD.
    Awang Hassanal Sufri mengagihkan daging-daging korban kepada saudara baharu secara pandu lalu.
    Imam Masjid Perdana Wangsa Kampung Setia, Haji Hassan ketika mengagihkan daging korban kepada para penerima.
    Yang Di-Pertua Persatuan Kenderaan Pacuan Empat Roda Daerah Tutong menyerahkan daging korban kepada seorang penerima. – Gambar serahan Persatuan Kenderaan Pacuan Empat Roda Daerah Tutong.
    Salah seorang anak yatim menerima daging korban daripada Haji Mohiddin.
    Suasana gotong-royong semasa majlis ibadah di Kampung Sungai Besar.
    Penasihat Kumpulan Al-Fajr, Haji Kassim (kiri) menyerahkan daging korban kepada salah seorang penerima pada majlis di Kampung Sungai Buloh.

    Nadia Azura Mohd Nudri mengagihkan daging korban kepada penerima.- Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi Malaysia
    Ahli-ahli Majlis Belia Brunei semasa mengagihkan daging-daging korban secara penghantaran ke rumah salah seorang penerima. – Gambar serahan Majlis Belia Brunei
    Daging-daging korban diagihkan kepada penerima oleh Timbalan Pengerusi MPK Lamunin.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari. Pada tahun ini, dua ekor kerbau telah dikorbankan daripada seramai 14 orang peserta terdiri daripada belia di negara ini dengan pengagihan daging-daging korban dilaksanakan secara penghantaran ke rumah-rumah penerima yang dikenal pasti iaitu 56 buah keluarga dari Daerah Brunei dan Muara serta Daerah Temburong.

    Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brunei Darussalam dan Persatuan Kebajikan Melayu SeMalaysia pula telah menganjurkan Program Korban bersama rakyat Malaysia yang menetap di negara ini di Bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Jalan Kebangsaan, kelmarin.

    Seramai 41 orang peserta menyertai program berkenaan dengan enam ekor lembu telah dikorbankan dengan 230kg daging korban telah diagihkan kepada mereka yang tidak bernasib baik dan 230kg diedarkan kepada rakyat Malaysia yang menetap di Negara Brunei Darussalam secara pandu lalu. Suruhanjaya Tinggi Malaysia diwakili oleh Kuasa Usaha Sementara, Nadia Azura Mohd Nudri.

    Majlis yang diadakan oleh Masjid Perdana Wangsa Haji Mohammad, Kampung Setia pula menyaksikan dua ekor kerbau dikorbankan dengan 14 orang peserta dari kampung berkenaan.

    Daging korban diagihkan-agihkan kepada 40 orang penerima terdiri daripada asnaf fakir dan miskin yang tinggal di Kampung Setia A dan Kampung Setia B yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Shahminan bin Haji Sulaiman.

    Manakala itu, seramai 10 orang ibu tunggal dan tujuh orang anak yatim yang tinggal di sekitar Kampung Sungai Besar menerima agihan daging korban sunat yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, kelmarin.

    Pada tahun ini, tiga ekor kerbau telah dikorbankan yang disertai oleh 21 peserta dan majlis pengagihan daging korban itu berlangsung di perkarangan masjid berkenaan.

    Sementara itu, dua ekor kerbau telah dikorbankan bagi majlis yang dianjurkan oleh Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) di Tingkat 5, Dewan Serbaguna, Bangunan Ibu Pejabat PPNBD.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali yang turut menyempurnakan pengagihan daging-daging korban kepada para penerima yang terdiri daripada ahli-ahli pengakap dan golongan asnaf fakir dan miskin.

    Kumpulan Al-Fajr juga tidak ketinggalan mengadakan majlis serupa yang berlangsung di kediaman Haji Kasim bin Asmat di Kampung Sungai Buloh.

    Majlis yang pertama kali diadakan oleh kumpulan berkenaan disertai oleh 35 peserta dengan lima ekor kerbau dikorbankan dan daging-daging korban diagih-agihkan kepada asnaf fakir dan miskin di sekitar Kampung Sungai Buloh dan Perpindahan Kampung Mengkubau.

    Hadir mengagihkan daging-daging berkenaan ialah Penasihat Kumpulan Al-Fajr, Haji Kasim bin Haji Asmat.

    Di Daerah Belait, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) cawangan Daerah Belait dengan kerjasama Persatuan Sinar Islam Kuala Belait telah mengendalikan majlis ibadah korban di perkarangan pusat berkenaan, di mana dua ekor kerbau telah dikorbankan.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengurus Penyelenggaraan dan Integriti Luar Pantai di Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), Awang Hassanal Sufri bin Haji Hassan yang bukan sahaja menyempurnakan pengagihan daging korban malah menyumbangkan salah seekor kerbau berkenaan.

    Daging-daging korban diagihkan kepada saudara-saudara baharu di mana pengagihannya dilaksanakan secara pandu lalu.

    Di Daerah Tutong pula, seramai 17 orang menerima agihan daging korban pada majlis anjuran Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam (PFNBD) yang berlangsung di Balai Raya Gong Tiga, Lamunin Tutong, baru-baru ini.

    Dua ekor kerbau telah dikorbankan pada majlis berkenaan yang dianjurkan buat kali ketujuh oleh persatuan berkenaan dan kali ini pengagihannya dilaksanakan secara pandu lalu.

    Pengagihan daging korban tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lamunin, Haji Talipuddin bin Haji Mahari selaku wakil peri-badi Ketua Kampung Lamunin, Mejar (B) Haji Said bin Haji Tinggal.

    Turut hadir menyaksikan pengagihan daging korban itu ialah Yang Di-Pertua Pertubuhan PFNBD, Haji Hamidun bin Haji Mohd Noor.

    Manakala itu, Persatuan Kenderaan Pacuan Empat Roda Daerah Tutong telah menganjurkan Program Riadah Korban yang berlangsung selama dua hari hingga kelmarin di Kampung Selapon, Daerah Temburong.

    Program bertujuan untuk mengagihkan daging-daging korban dan keperluan barangan asasi daripada ahli-ahli persatuan kepada beberapa orang penduduk yang terpilih di kampung itu di samping mengadakan riadah dan perkhemahan di Hujung Jalan Kampung Selapon.

    Pengagihan daging-daging korban dan penyerahan barangan asasi disempurnakan oleh Yang Di-Pertua Persatuan Kenderaan Pacuan Empat Roda Daerah Tutong, Awang Sha’ari bin Haji Zunaidi.

    Sebanyak 20 buah keluarga telah menerima agihan daging korban dan bantuan barangan asasi pada program berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda