Sambutan Hari Raya Aidiladha bagi penyanyi Khai Bahar pada tahun ini tidak semeriah seperti sebelum ini sejak kesihatan ibunya iaitu Rosnah Muhammad merosot akibat penyakit buah pinggang.
Khai atau Muhammad Khairul Baharuddin, 29, berkata, meskipun ibunya tidak selincah dulu namun dia tetap bersyukur keadaan emosinya stabil dan masih mampu melayan karenahnya dan adik-beradik yang lain.
“Dulu masa raya, mak paling beria tentang semua benda. Semenjak dia sakit, dia sudah tidak macam dahulu.

“Ini pun nasib kami baik sebab hari ini mood dia stabil boleh melayan kami. Kadang mood dia tak okay, dia merepek tak ingat semua benda,” katanya.
Khai berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya pada hari ini, lapor mStar.
Menerusi video yang dikongsi, Khai yang menggayakan baju Melayu rona hijau dilihat sedang memakaikan ibunya tudung sebelum mereka merakamkan foto kenangan bersama.
Menjengah ke ruang komen, pengikut memuji sikap baik ditunjukkan penyanyi lagu Luluh itu dan mendoakan agar ibunya segera sembuh.
“Anak mithali, jangan lepas peluang pahala jaga ibu ya. Selamat hari raya Aidiladha.
“Anak soleh ni. Semoga ibu Khai diberikan kesembuhan. Rindu senyuman mak Ros, semoga mak Ros dikurniakan kesihatan yang baik, diberikan kesembuhan dan Khai sekeluarga bahagia,” tulis netizen.
Pada September tahun lalu, ibu Khai dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat masalah buah pinggang.
Menurut Khai, doktor memaklumkan ibunya perlu menjalani rawatan dialisis akibat penyakit itu. – Agensi