Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Dengan hasrat mengeratkan hubungan silaturahim dan sama-sama memeriahkan perayaan, Sekolah Tunas Jaya Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (STJ PGGMB), Madang mengadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di sekolah berkenaan, hari ini.
Hadir pada majlis sambutan berkenaan ialah Yang Di-Pertua PGGMB, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman; Timbalan Yang Di-Pertua PGGMB, Haji Badar bin Haji Mohd Ali; Pengerusi Tetap PGGMB, Haji Jamal bin Haji Kahar; Setiausaha Agung PGGMB, Haji Mustapa bin Haji Masri; Setiausaha Kewangan PGGMB, Haji Juned bin Haji Ramli; Timbalan Setiausaha Agung PGGMB (Dalam Negeri), Pengiran Haji Hamzah bin Pengiran Haji Mohammad; Timbalan Setiausaha Agung (Luar Negeri), Haji Yahya bin Haji Mirasan; Guru Besar Sekolah, Dayang Suraimah binti Kawi; guru-guru, kakita-ngan sekolah serta murid-murid Sekolah Tunas Jaya PGGMB Madang.
Majlis diisikan dengan bacaan Doa Selamat, lagu kebangsaan, lagu sekolah, persembahan lagu-lagu Hari Raya, lakonan daripada murid-murid KG 1, 2 dan 3, pelajar Tahun 1 hingga Tahun 6 serta penyampaian hadiah terbaik dan pakaian tercantik kepada murid-murid.
Majlis berkenaan bertujuan menzahirkan rasa kesyukuran dan kegembiraan setelah berjaya mengharungi cabaran sepanjang bulan suci Ramadan.
Di samping itu, majlis itu juga mengetengahkan bakat dan potensi murid-murid dalam persembahan yang disertai, sekali gus mengeratkan silaturahim dan komunikasi sesama warga sekolah.
– GAMBAR SERAHAN STJ PGGMB MADANG