Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Kementerian Kesihatan tidak ketinggalan untuk mengadakan Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah 1439 yang diselajurkan dengan Majlis Meraikan Kepulangan Rombongan Bi’thah Haji Perubatan dan Jemaah Haji bagi Musim Haji 1428/2017 yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Hadir di majlis berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Haji Zakaria bin Haji Serudin; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar), Kementerian Kesihatan, Dr. Hazri bin Haji Kifle; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Datin Paduka Dr. Hajah Maslina binti Haji Mohsin, ketua-ketua fungsi serta pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.
Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah itu diserikan dengan ceramah motivasi yang disampaikan oleh Pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB), Awang Mohammad Hilmy Baihaqy bin Haji Awang Yussof.
Majlis diteruskan dengan acara berdikir beramai-ramai sempena meraikan kepulangan rombongan bi’that haji perubatan yang terdiri daripada enam orang doktor dan 14 orang kakitangan kejururawatan serta jemaah haji bagi musim haji 1438/2017 iaitu seramai tujuh orang jemaah lelaki dan 25 orang jemaah perempuan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.
