Monday, July 8, 2024
23 C
Brunei

    -

    Sambutan Bulan Bahasa 2024 dilancarkan

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Dengan bertemakan Memperkasakan Bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, hari ini, telah melancarkan Sambutan Bulan Bahasa 2024 bertempat di Ruang Legar, The Mall, Gadong.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Tetamu kehormat turut melancarkan buku-buku terbaharu terbitan DBP sebanyak tiga buah, iaitu Dinamika Bahasa Melayu Jilid 3, Buku Mini Istilah Kitani dan Kamus Istilah Pemakanan.

    Dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi berkata majlis tersebut bermatlamat bagi menanamkan rasa kecintaan dan minat terhadap bahasa Melayu kerana dengan rasa kecintaan itu akan dapat melipatgandakan lagi usaha untuk mendaulatkan bahasa itu, di samping dukungan dan kerjasama daripada pelbagai pihak.

    Itulah tujuan Bulan Bahasa itu diadakan, agar masyarakat menanam rasa untuk ingin mengenali keindahan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyampaikan sijil dan hadiah kepada salah seorang pelajar cemerlang semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Sambutan Bulan Bahasa 2024 yang diadakan di Ruang Legar, The Mall, Gadong. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Majlis dimulakan dengan lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan, bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Majlis terdahulu diserikan dengan Sesi Baca Buku selama 10 minit, diikuti dengan ucapan alu-aluan disampaikan oleh Pemangku Pengarah DBP, Hajah Haireni binti Haji Awang Damit selaku pengerusi majlis.

    Menurut Hajah Haireni, DBP terus komited mengupayakan pelbagai inisiatif yang mengangkat kepada usaha-usaha memperkasakan bahasa Melayu.

    Usaha memperkasakan itu tidaklah hanya bertumpu kepada pembarigaan dan promosi bahasa Melayu kepada masyarakat, malah ruang lingkup itu diperluas dengan mendekati dan menyantuni masyarakat untuk menggunakan bahasa Melayu.

    Beliau berkata, mendekati masyarakat menjadi antara medium yang penting dalam menarik masyarakat untuk sama-sama memperkasakan bahasa Melayu kerana tanggungjawab memperkasakan itu adalah tanggungjawab kita bersama.

    Oleh itu, sambutan Bulan Bahasa yang dilaksanakan bagi tahun 2024 dipertingkatkan lagi corak pengisiannya dengan mempelbagaikan program dan kegiatan. Bulan Bahasa dari tahun ke tahun memperlihatkan pencapaian terutamanya dalam memasyarakatkan penggunaan bahasa Melayu di negara ini.

    Pencapaian itu dapat dilihat melalui penglibatan dan penyertaan masyarakat daripada pelbagai peringkat usia dalam kegiatan dan program yang dianjurkan bersempena Bulan Bahasa.

    Pada tahun ini, majlis turut mempersembahkan penampilan khas daripada duta-duta bahasa dan Bicara Berirama oleh penuntut-penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Turut disampaikan sewaktu majlis tersebut ialah sijil dan hadiah kepada pelajar cemerlang mata pelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu bagi Peperiksaan Brunei Cambridge GCE Peringkat O dan A pada tahun 2023 kepada seramai 17 orang pelajar, pemenang Peraduan Menulis Cerpen dan Kritikan Sastera Bahana, DBP 2023, pemenang Peraduan Menulis Rencana Umum Jurnal Beriga 2023-2024, panel hakim pera-duan, rakan strategik dan peserta persembahan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua askar, enam suspek militan terbunuh dalam pertempuran di Kashmir

    NEW DELHI, 7 JULAI – Dua anggota tentera dan enam suspek militan terkorban dalam dua pertempuran berasingan di Kashmir yang ditadbir India, menurut polis, hari...