Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab (SMSUA), telah mengadakan Sambutan Hari Buku Sedunia, baru-baru ini yang berlangsung di sekolah berkenaan.
Bertemakan Magic in the Halls: Celebrating World Book Day with Costumes and Characters!, suasana dewan sekolah berkenaan seakan-akan ‘hidup’ dengan watak atau karakter watak dari buku-buku kegemaran para pelajar dan guru.
Acara tahunan itu yang dianjurkan oleh Jabatan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sekolah berkenaan dengan tujuan untuk menggalakkan keseronokan membaca dan membuat golongan pelajar semakin jatuh cinta dengan budaya membaca.
Dalam pada itu, Pengetua SMSUA, Dayang Sinasuria binti Haji Ibrahim dengan memperagakan kostum Red Riding Hood, memberikan sokongan padu untuk sambutan itu, sambil menyatakan bahawa dengan membaca, banyak peluang pasti terbuka luas.
Sambutan itu juga menyaksikan pelajar Tahun 10 mempersembahkan sebuah lakonan pendek berjudul The Library That Time Forgot, yang berkisarkan Alex, yang terjumpa sebuah buku ajaib di perpustakaan sekolah dan tiba-tiba mendapati dirinya dikelilingi oleh seorang puteri nakal, seekor naga garang, seorang lanun yang haus akan pengembaraan, seorang detektif yang bijak dan seorang pustakawan ajaib.



