Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Bersempena Sambutan Hari Guru 2024, Sekolah Tunas Jaya Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (STJ PGGMB) Lambak meraikan bakti serta jasa guru dengan mengadakan Majlis Sambutan Hari Guru yang berlangsung di STJ PGGMB Lambak, Kampung Lambak, kelmarin.
Acara tersebut telah dihadiri Timbalan Setiausaha Agung PGGMB, Haji Yahya bin Haji Mirasan serta lebih 200 orang murid dan guru sekolah berkenaan.
Dalam ucapan alu-aluannya, Guru Besar STJ PGGMB Lambak, Haji Roslan bin Haji Mohd Hassan menyentuh mengenai kemajuan ICT yang perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa dalam proses pengajaran.
Dalam era globalisasi yang menyaksikan perkembangan ICT yang pesat, setiap guru perlu mempunyai kemahiran asas menggunakan komputer serta aplikasi interaktif yang lain bagi mengembangkan pembelajaran secara dalam talian.
Beliau menekankan pengintegrasian teknologi dalam pengajaran dan pemudahcaraan adalah satu langkah untuk meningkatkan kualiti pengajaran.
Selain kemahiran dalam teknologi maklumat, beliau juga menyentuh mengenai pendidikan jasmani, olahraga dan kesihatan di mana pendidikan jasmani merupakan integrasi daripada pendidikan secara menyeluruh.
Acara kemuncak sambutan adalah persembahan nyanyian beramai-ramai daripada murid-murid Pra 1 hingga 5 dengan lagu-lagu tahun 70an yang bertemakan Hari Guru termasuk Terima Kasih Guru dan Jasamu Guru.