Sambutan Hari Kebangsaan ISB KB meriah

Oleh Daniel Lim

Gambar serahan ISB KB

BELAIT, 5 MAC – Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) Kuala Belait (KB) tidak ketinggalan memperingati Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 dengan majlis sambutan yang diadakan di bangunan sekolah berkenaan di Jalan Maulana, baru-baru ini.

Majlis sambutan telah dimulakan dengan nyanyian lagi kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ oleh murid-murid Melayu Tahun 3 hingga 6 dengan disertai oleh ibu bapa dan kakitangan berbangsa Melayu yang hadir. Kemudian, majlis turut menyaksikan murid-murid Tahun 1 dan 2 membuat persembahan-persembahan tarian tradisi iaitu Kesaentero Dunia.

Di samping itu, majlis dimeriahkan dengan persembahan tarian oleh empat penari jemputan yang telah mempersembahkan tarian Gemalai Tari and Joget Hati Tertawan yang merupakan versi kontemporari bagi tarian tradisi, Jipin Laila Sembath.

Selepas menyaksikan persembahan-persembahan tarian berkenaan, para hadirin menikmati hidangan yang disediakan oleh para ibu bapa.

Majlis sambutan berkenaan juga menandakan perkongsian hidangan terakhir mereka sebelum berpindah ke lokasi baharu sekolah di Seria.

Untuk mengingati memori, terutamanya bagi ibu bapa, kotak khusus disediakan di mana ibu bapa diminta menulis memori nanti mengenai anak mereka di ISB KB, yang kemudiannya akan dipamerkan di sekolah baharu.

Murid-murid mengadakan persembahan tarian tradisi sempena sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 di bangunan sekolah ISB, Kuala Belait.