Thursday, December 26, 2024
32 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sambutan Hari Keputeraan bermula

    Oleh Yusrin Junaidi & Daniel Lim –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Bagi menandakan bermulanya Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 tahun, Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara telah diadakan dalam acara penuh gilang-gemilang di kawasan lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di ibu negara, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada upacara tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Majlis juga diteruskan dengan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam dan poster-poster sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi 2023 kepada pegawai-pegawai dan pemangku pegawai daerah.

    Upacara Pengibaran Bendera Negara Brunei Darussalam juga telah diadakan di daerah-daerah yang diteruskan dengan penyerahan bendera negara kepada para penghulu mukim di daerah berkenaan.

    Di Daerah Tutong, majlis diadakan di kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin menyerahkan bendera negara kepada pegawai daerah pada Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara di ibu negara, Sabtu lalu. – Gambar oleh Infofoto
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin menyerahkan bendera besar negara untuk dinaikkibarkan. – Gambar oleh Infofoto
    Ir Haji Mohammad Nazri menyerahkan bendera pada upacara di Daerah Tutong. – Gambar oleh Yusrin Junaidi & Daniel Lim
    Awang Ajman menyerahkan bendera kepada ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman selaku Penghulu Mukim Bukit Sawat. – Gambar oleh Yusrin Junaidi & Daniel Lim
    Awang Ajman menyerahkan bendera kepada salah perwakilan yang hadir pada upacara pengibaran bendera di Daerah Belait. – Gambar oleh Yusrin Junaidi & Daniel Lim
    Awang Abdul Hafiz menyerahkan bendera negara kepada Yang Berhormat Haji Daud untuk diserahkan kepada jawatankuasa upacara menaikkan bendera pada upacara pengibaran bendera di Dewan Kemasyarakatan Dewan 2 Lambak Kanan. – Gambar oleh Yusrin Junaidi & Daniel Lim
    Upacara pengibaran bendera yang diadakan di Balai Raya Kampung Sungai Teraban. – Gambar oleh Yusrin Junaidi & Daniel Lim
    Upacara pengibaran bendera di Kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong. – Gambar oleh Yusrin Junaidi & Daniel Lim
    Pembawa bendera bersedia untuk upacara pengibaran bendera besar di kawasan Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di ibu negara, baru-baru ini. Upacara tersebut menandakan bermulanya Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 tahun. – Gambar oleh Infofoto

    Sementara itu, di Daerah Belait, hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Menara Cendera Kenangan, Kuala Belait ialah Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), di Jabatan Perdana Menteri, Awang Ajman bin Haji Meludin.

    Dengan berkibarnya bendera besar negara itu menandakan bermulanya pengibaran bendera peribadi masing-masing bagi pengiran-pengiran dan mereka yang dikurniakan gelaran; dan bendera Negara Brunei Darussalam bagi orang ramai dan juga termasuk di bangunan-bangunan dan premis-premis perniagaan sehingga 31 Julai.

    Pada sebelah petang itu, Majlis Perundingan Mukim Belait bersama Majlis Perundingan Kampung Sungai Teraban turut menganjurkan upacara menaikkan bendera di Balai Raya Kampung Sungai Teraban.

    Penghulu Mukim Belait, Haji Abdul Afiq bin Zainuddin hadir selaku tetamu kehormat dan diiringi oleh ketua kampung di kawasan Mukim Belait.

    Manakala itu, pada hari ini, upacara seumpamanya telah diadakan bagi Zon 2 iaitu Mukim Berakas A dan B yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Dewan 2 Lambak Kanan.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Daud bin Jihan yang juga Ketua Kampung Belimbing.

    Pada acara itu, Yang Berhormat Haji Daud telah menyerahkan bendera negara kepada ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Jaya Setia, Jaya Bakti dan Burong Pingai Berakas selaku tuan rumah acara.

    Tuan rumah acara untuk Zon 2 ialah Ketua Kampung Jaya Setia, Jaya Bakti dan Burong Pingai Berakas, Awang Abdul Hafiz bin Haji Abdul Manan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda