Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Dalam meneliti acara-acara yang akan diadakan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-75 tahun ini, pertimbangan hendaklah berpandukan kepada SOP dan nasihat Kementerian Kesihatan bagi memastikan negara sentiasa dalam keadaan selamat serta terpelihara daripada pandemik COVID-19.
Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan pada 2021 adalah sangat bermakna kerana ia adalah sambutan ke-75 tahun dan adalah menjadi hasrat jawatankuasa berkenaan untuk merancang rancangan atau acara-acara yang lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya dalam meraikan sambutan berkenaan.
Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Sultan pada 2021 adalah sangat bermakna kerana ia adalah sambutan ke-75 tahun dan adalah menjadi hasrat jawatankuasa berkenaan untuk merancang rancangan atau acara-acara yang lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya dalam meraikan sambutan ke-75 tahun itu.
Perkara tersebut ditegaskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussaam Ke-75 dalam ucapan alu-aluannya di Bangunan Jabatan Perdana Menteri, Jalan Perdana Menteri, Bandar Seri Begawan.
Yang Berhormat Pehin menekankan, “Walau bagaimanapun oleh kerana negara kita dan dunia masih berhadapan dengan wabak COVID-19, kita sewajarnya perlu mengambil langkah berwaspada dalam mengatur rancangan-rancangan sambutan perayaan pada tahun ini demi memelihara keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat dan penduduk negara ini.

“Kita menyedari bahawa sambutan perayaan ini merupakan satu sambutan yang sangat ditunggu-tunggu oleh seluruh lapisan rakyat dan penduduk negara ini lebih-lebih lagi rakyat dan penduduk di daerah-daerah.
“Menerusi acara sambutan perayaan inilah mereka mempunyai kesempatan untuk bersua muka dan junjung ziarah dengan raja yang mereka kasihi sebagai lambang taat setia mereka kepada raja,” tekannya.
Tambahnya, “Demikian juga kepada para belia dan penuntut-penuntut yang juga mempunyai kesempatan untuk sama-sama menyertai acara-acara sambutan dengan mempersembahkan bakat dan kebolehan mereka masing-masing.”
Yang Berhormat Pehin turut menyatakan supaya jawatankuasa-jawatankuasa di pelbagai peringkat akan dapat mengambil perhatian bagi membawa pelbagai lapisan masyarakat bersama-sama menyumbang bagi menjayakan acara-acara sambutan perayaan walaupun dalam skala yang sederhana.
“Kita juga berharap jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan akan terus menerus memberikan sokongan, kerjasama, khidmat bakti dan komitmen serta pemikiran yang konstruktif dan positif dalam kita bersama-sama membuat persediaan awal rancangan-rancangan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia,” katanya.
Pada 2020, jelasnya, dalam keadaan negara menghadapi COVID-19 dan sekatan perkumpulan ramai, kita telah dapat melaksanakan beberapa acara Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-74, walaupun dalam skala yang kecil dan sederhana.
Ini termasuk mengadakan Majlis Sembahyang Fardu Maghrib berjemaah, Membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran, Majlis Pengibaran dan Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam dan acara sampingan gerai Hari Keputeraan.
“Acara-acara berkenaan telah berjalan dengan lancar, selamat dan sempurna berkat usaha kita mematuhi SOP yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan,” tambahnya.