Friday, March 21, 2025
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sambutan Hari Kesihatan Mulut Sedunia 2025

    Oleh Sim Y. H. – 

    Di Negara Brunei Darusalam, Kementerian Kesihatan ada menyediakan perkhidmatan pergigian sepenuh masa di di Pusat Pergigian Negara, pusat-pusat kesihatan, hospital kerajaan dan di Pusat Perkembangan Kanak-Kanak.

    Perkhidmatan yang disediakan meliputi perkhidmatan penjagaan kesihatan mulut asasi dan perkhidmatan kepakaran pergigian.

    Pada masa ini, orang ramai boleh membuat tempahan perjanjian melalui aplikasi BruHealth bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan mulut asasi dan digalakkan untuk datang mengikut jam yang telah ditetapkan.

    Menurut statistik Jabatan Perkhidmatan Pergigian (JPP), kehadiran pesakit ke klinik-klinik pergigian pada 2024 ialah seramai 139,885 orang.

    Manakala, kadar tempahan untuk perjanjian pergigian melalui BruHealth dianggarkan dalam 90-95 peratus, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan, sempena Sambutan Hari Kesihatan Mulut Sedunia 2025.

    Guru dan murid sekolah sedang bergambar selepas mengikuti Program Senyum Pelajar yang dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Pergigian (JPP), Kementerian Kesihatan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN

    HARI KESIHATAN MULUT SEDUNIA

    Hari Kesihatan Mulut Sedunia disambut pada setiap 20 Mac sebagai salah satu kempen untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan kesihatan mulut yang baik.

    Tahun ini merupakan tahun kedua dalam kempen selama tiga tahun, yang dilancarkan oleh FDI World Dental Federation, untuk Hari Kesihatan Mulut Sedunia dengan tema utama, ‘Mulut Sihat Adalah… Minda Sihat’.

    Tema itu menekankan mengenai hubungan penting antara kesihatan mulut dengan kesejahteraan minda di mana mulut yang sihat bukan sahaja mencerminkan amalan kebersihan mulut yang baik, tetapi juga menyumbang kepada keyakinan diri, kesejahteraan mental dan kualiti hidup yang lebih baik.

    Masalah kesihatan mulut bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal tetapi juga boleh memberi impak besar kepada kesejahteraan mental seseorang seperti gigi yang buruk, mulut yang berbau atau kehilangan gigi boleh menyebabkan seseorang berasa rendah diri dan malu untuk berinteraksi dengan orang lain.

    Keadaan itu boleh membawa kepada punca kesihatan mental terjejas seperti masalah kemurungan dan kegelisahan sosial;

    Rasa sakit akibat jangkitan gusi atau gigi berlubang boleh menyebabkan seseorang mengalami stres yang berterusan serta sakit gigi dan masalah rahang boleh menyebabkan gangguan tidur yang serius.

    Kurang tidur boleh mengakibatkan perubahan mood, kesukaran menumpukan perhatian dan meningkatkan risiko kemurungan.

    Individu yang mengalami masalah kesihatan mulut sering kali mempunyai masalah untuk mengunyah makanan dengan betul. Ini boleh menyebabkan mereka mengelak daripada makan makanan tertentu, kurang selera makan atau mengalami gangguan pemakanan yang akhirnya boleh mendatangkan kemurungan.

    Kajian mendapati bahawa bakteria dalam mulut boleh memasuki aliran darah dan memberi kesan kepada kesihatan otak, meningkatkan risiko penyakit Alzheimer serta gangguan mental yang lain.

    Punca kesihatan mental itu sering dikaitkan dengan tahap kebersihan mulut yang rendah.

    Oleh itu, penjagaan kesihatan mental adalah sama pentingnya dengan penjagaan kebersihan mulut.

    PROGRAM-PROGRAM MEMPROMOSIKAN KESIHATAN MULUT

    Jabatan Perkhidmatan Pergigian (JPP), Kementerian Kesihatan ada mengendalikan beberapa buah program untuk mempromosikan kesihatan mulut bagi semua lapisan masyarakat di negara ini.

    Program-program berkenaan ialah Program Senyum Si Manja yang dilaksanakan di 16 buah pusat kesihatan dan hospital di seluruh negara untuk kanak-kanak berumur 1 hingga 4 tahun.

    Program itu bertujuan untuk memberikan pendidikan awal penjagaan kesihatan mulut kepada ibu bapa atau penjaga dan langkah pencegahan melalui sapuan varnis fluorida.

    Varnis fluorida merupakan sejenis gel fluorida yang pekat yang digunakan pada permukaan gigi selepas pemeriksaan gigi. Kajian saintifik telah menunjukkan bahawa ia mampu memberi perlindungan tambahan kepada gigi daripada kerosakan apabila digunakan sebagai tambahan kepada rutin memberus gigi dengan ubat gigi berfluorida.

    Program Senyum Pelajar yang dilaksanakan di beberapa buah sekolah tadika dan sekolah rendah merupakan taklimat interaktif mengenai dengan kesihatan mulut, sapuan varnis fluorida dan Sealan Fisur diberikan kepada murid-murid untuk meningkatkan penjagaan kesihatan mulut mereka.

    Sealan Fisur merupakan rawatan pencegahan bagi membantu mencegah kerosakan gigi posterior (belakang).

    Program Senyum Komuniti pula menyasarkan kumpulan komuniti tertentu, termasuk para pelatih Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) dan komuniti lain untuk meningkatkan kesedaran dan menyediakan penjagaan kesihatan mulut.

    Program Senyum Kasih pula adalah khusus bagi para pesakit berkeperluan khas di kediaman masing-masing termasuk mereka yang terlantar dengan memastikan perkhidmatan kesihatan pergigian dapat dicapai atau diakses oleh golongan yang memerlukan.

    Kementerian Kesihatan juga menyediakan Perkhidmatan Pergigian Sekolah untuk murid-murid di 43 buah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah bagi memastikan apabila pelajar meninggalkan sistem sekolah, mereka akan menjadi ‘dentally fit’ dengan kesihatan mulut yang optimum melalui intervensi yang sesuai.

    Ia termasuk program latihan pemberusan gigi di semua sekolah rendah di seluruh negara bagi memperkasakan mereka untuk bersungguh-sungguh dalam mengekalkan kesihatan mulut pada tahap optimum melalui ‘penjagaan diri’ yang sewajarnya.

    Sokongan dan kerjasama pihak sekolah sangat diharapkan bagi memastikan semua pelajar mengamalkan tabiat memberus gigi selepas waktu makan di sekolah.

    HARAPAN SEMPENA HARI KESIHATAN SEDUNIA

    Sempena Hari Kesihatan Mulut Sedunia, jelas Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham adalah diharapkan seluruh penduduk di negara ini dapat mengekalkan amalan penjagaan kebersihan mulut setiap hari.

    Beliau menyatakan bahawa tindakan-tindakan mudah adalah penting untuk memastikan mulut yang sihat dan juga minda yang sihat.

    Tindakan-tindakan berkenaan termasuk memberus gigi dua kali sehari dengan ubat gigi yang berfluorida, menggunakan flos dan berkumur dengan ubat kumur antibakteria untuk mengurangkan pembentukan plak dan bakteria.

    Orang ramai juga dinasihatkan untuk berludah sahaja dan tidak berkumur-kumur selepas memberus gigi kerana jika berkumur-kumur, ubat gigi akan hilang dan tidak dapat memberikan perlindungan yang optimum pada gigi.

    Mereka juga dinasihatkan untuk mengurangkan pengambilan makanan dan minuman bergula dan berasid serta untuk melebihkan pengambilan makanan kaya kalsium dan vitamin D untuk kesihatan gigi yang lebih baik.

    Mereka turut disarankan untuk menjalani pemeriksaan mulut secara berkala atau rutin dapat membantu mengesan dan merawat masalah mulut sebelum ia menjadi lebih serius, berhenti merokok kerana merokok bukan sahaja merosakkan gigi dan gusi, tetapi juga meningkatkan risiko penyakit mental seperti kemurungan dan kebimbangan, menggelakkan daripada mendapatkan rawatan daripada individu-individu yang tidak bertauliah seperti pendakap gigi tiruan (fake braces) serta mengamalkan teknik relaksasi seperti meditasi, senaman, dan tidur yang mencukupi untuk mengurangkan tahap stres yang boleh menyebabkan punca masalah kesihatan mental berlaku.

    Yang Berhormat Dato turut menyeru orang ramai untuk mengikuti platform media sosial akaun rasmi @DentalBrunei di TikTok dan Instagram bagi mendapatkan panduan penjagaan pergigian serta pelbagai maklumat promosi kesihatan mulut.

    “Kementerian Kesihatan akan tetap komited dalam meningkatkan kesihatan mulut melalui perkhidmatan penjagaan kesihatan mulut yang berkesan, saksama, berpatutan, boleh diakses, selamat dan mampan kepada seluruh masyarakat.”

    “Marilah kita bersama-sama menghayati tema, ‘Mulut Sihat Adalah… Minda Sihat’, dan mengambil langkah pencegahan awal atau proaktif ke arah penjagaan kesihatan mulut yang lebih baik.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda