Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dengan kerjasama Poni Group Sdn Bhd telah menganjurkan Hari Nelayan bersempena dengan Hari Lautan Sedunia yang berlangsung di Pantai Jerudong, hari ini.
Penganjuran acara yang julung kali dilaksanakan tersebut membawa tema utama Pemerkasaan Komuniti Nelayan dengan matlamat memperkukuhkan pembangunan sektor perikanan serta menyokong kesejahteraan ekonomi negara.
Komuniti nelayan sememangnya memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan bekalan sumber makanan laut negara sentiasa mencukupi dan berterusan untuk rakyat Negara Brunei Darussalam.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi acara berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap di KSSUP, Haji Mohammad Yusree bin Haji Junaidi yang turut menyempurnakan pelancaran bengkel pembuatan takat tiruan berupa reef balls dan diikuti dengan sesi lawatan ke bahagian pameran yang disediakan sepanjang acara tersebut.
Pada acara berkenaan, ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Pemangku Pengarah Perikanan, Hajah Wanidawati binti Haji diikuti dengan taklimat ringkas mengenai acara Hari Nelayan dan penangkapan ikan yang mampan oleh Poni Group Sdn Bhd.
Turut hadir ialah pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi dan duta-duta besar ke Negara Brunei Darussalam, penghulu Mukim Sengkurong dan pemangku ketua Kampung Jerudong ‘A’ serta seramai 80 nelayan.
Antara pengisian utama sepanjang acara yang berlangsung pada sebelah pagi tersebut termasuk aktiviti pembuatan takat tiruan (reef balls) yang melibatkan penyertaan seramai 119 orang nelayan tempatan.
Aktiviti tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan dan kemahiran asas mengenai teknik pembinaan takat tiruan sebagai salah satu usaha pemuliharaan habitat marin dan sokongan kepada sumber perikanan.
Selain itu, beberapa sesi taklimat seperti taklimat asas keselamatan di laut telah disampaikan oleh Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Negara Brunei Darussalam bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan para nelayan mengenai langkah-langkah keselamatan asas semasa berada di laut, serta tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi kecemasan.
Taklimat mengenai pengawalan udang bakara dan ketam juga turut diadakan oleh Jabatan Perikanan bagi meningkatkan kesedaran para nelayan dan orang awam mengenai kepentingan pengurusan dan pemeliharaan sumber perikanan secara mampan melalui pematuhan kepada peraturan saiz tangkapan dengan mempamerkan tatacara pengukuran udang bakara dan ketam.
Antara aktiviti lain di acara tersebut termasuk penyediaan Kaunter Pelesenan Bergerak Perikanan bagi memudahkan nelayan untuk mendapatkan lesen alat menangkap ikan dan memastikan peraturan oleh Jabatan Perikanan serta menjalankan aktiviti penangkapan secara sah dan bertanggungjawab dapat dipatuhi.
Di samping itu, kaunter bantuan nelayan turut sediakan dengan kerjasama Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ) serta institusi perbankan seperti TAIB, BIBD dan Bank Usahawan bagi membuka peluang untuk mendapatkan pembiayaan, bimbingan perniagaan, bagi mengembangkan aktiviti ekonomi dan meningkatkan daya saing.
Pameran dan muzakarah mengenai keselamatan treler perahu daripada Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya serta pameran enjin bot dan pelbagai peralatan menangkap ikan juga diadakan sebagai memberi pendedahan kepada aspek keselamatan jalan raya semasa pengangkutan dan penggunaan treler perahu serta teknologi dan inovasi terkini yang dapat meningkatkan kecekapan dan produktiviti operasi nelayan.
Acara Hari Nelayan ini menjadi platform penting untuk meningkatkan kerjasama antara agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) dan komuniti nelayan, di samping meningkatkan kesedaran berkenaan amalan perikanan yang selamat, bertanggungjawab dan lestari. Setakat tahun 2024, jumlah nelayan kecil-kecilan yang berdaftar di Negara Brunei Darussalam adalah seramai 1,500 orang.
Dalam pada itu, Jabatan Perikanan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan acara ini, khususnya para nelayan yang sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dalam usaha menyumbang kepada keselamatan makanan dan pembangunan negara.



Semua di atas: Tetamu kehormat ketika menyaksikan pameran yang disediakan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

