BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam (BDNOC) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan akan menganjurkan Sambutan Hari Olimpik di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas pada 30 Jun ini.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah selaku Presiden BDNOC dijangka berkenan berangkat ke sambutan yang bermula dari jam 8:15 pagi tersebut.
Menurut kenyataan BDNOC, sambutan itu nanti akan dimulakan dengan sesi pemanasan badan diikuti pelancaran sambutan oleh Duli Yang Teramat Mulia.
Selain itu, pelbagai aktiviti akan disediakan bagi memeriahkan sambutan dan aktiviti berkenaan dibukakan kepada semua lapisan masyarakat. Kenyataan itu menjelaskan bahawa pelbagai acara sukan akan diadakan pada hari tersebut termasuk permainan tradisional.
Sempena sambutan itu, Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Pusat Perubatan dan Penyelidikan Sukan (SMRC) serta Ahli Jawatankuasa Anti-Doping Brunei Darussalam turut mengadakan Pameran Sukan Olimpik Tokyo 2020.