Oleh Ak Zaki Kasharan, Yusrin Junaidi, Syahmi Hassan & Daniel Lim
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Hari Raya Aidiladha tahun ini disambut dalam suasana yang berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya disebabkan pandemik COVID-19 yang turut melanda negara ini, namun kemeriahannya tetap terasa dengan ramai yang melaksanakan ibadah korban.
Dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan, Jawatankuasa Takmir Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Mateen (PMAM) dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung (MPK), Mulaut telah mengendalikan majlis pengagihan daging korban, hari ini.
Enam ekor kerbau telah dikorbankan bagi majlis berkenaan yang melibatkan 42 orang peserta.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyerahan agihan daging korban pada majlis yang diadakan di ruang legar masjid berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.
Para penerima terdiri daripada golongan fakir miskin serta para penduduk di sekitar Kampung Mulaut.










Turut mengadakan majlis serupa ialah Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Tanah Jambu yang berlangsung di masjid berkenaan, di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Tanah Jambu, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad bin Haji Daud.
Terdahulu, acara diserikan dengan laungan takbir Hari Raya Aidiladha sebelum pengagihan daging korban, enam ekor sapi yang dikorbankan oleh 34 orang peserta, kepada 48 orang penerima terdiri daripada golongan asnaf fakir dan miskin.
Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kapok juga telah mengendalikan majlis serupa kelmarin, di mana lima ekor kerbau dikorbankan oleh 29 orang peserta yang terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid berkenaan dan penduduk kampung.
Hadir mengagihkan daging-daging korban kepada 18 orang penerima yang berhak ialah Dato Paduka Haji Metassan bin Abdul Momin.
Di samping itu, daging-daging korban turut diagihkan kepada orang ramai secara pandu lalu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Belia Masjid Ash-Shaliheen dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Ash-Shaliheen turut mengadakan majlis pengagihan da-ging ibadah korban menerusi Program Indahnya Berbagi Edisi Aidiladha yang diadakan di masjid berkenaan, hari ini.
Program menyasarkan 120 penerima yang terdiri daripada asnaf fakir miskin, pekerja buruh asing, warga masjid dan orang ramai di sekitar masjid berkenaan.
Daging-daging korban tersebut akan diedarkan secara pandu lalu dan penghantaran ke rumah-rumah penerima.
Syarikat-syarikat swasta juga tidak ketinggalan melaksanakan ibadah korban seperti yang diadakan oleh Brunei Gas Carriers (BGC) Sdn Bhd sebagai sebahagian daripada inisiatif pelaburan sosialnya.
Dua ekor kerbau dan seekor sapi telah dikorbankan dan diagih-agihkan kepada 40 buah keluarga secara pandu lalu di Sekolah Menengah Sayyidina Husain, Jerudong, hari ini.
Acara tahunan berkenaan bertujuan untuk bersedekah dan mengagihkan daging korban kepada keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik di Kampung Jerudong.
Hadir pada majlis berkenaan bagi mengagih-agihkan daging korban ialah Penasihat MPK Jerudong, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohd Jaafar bin Haji Abdul Aziz; Timbalan Pengarah Urusan BGC, Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; Pengurus Kontrak dan Perolehan, Pengiran Dianawaty binti Pengiran Haji Matzin, dan Pengurus Sumber Manusia, Awang Mohd Khairul Amilin bin Maidin.
Mewakili Kampung Jerudong A ialah Ketua Kampung Jerudong, Haji Kharul bin Haji Lakat dan bagi Sekolah Menengah Sayyidina Husain ialah Pengetuanya, Dayangku Hajah Nooramaliatifah binti Pengiran Haji Ahmad.
Di Daerah Belait, Kumpulan Syarikat-syarikat Serikandi meraikan Hari Raya Aidiladha dengan melaksanakan ibadah korban, kelmarin.
Seekor kerbau dan enam ekor kambing telah dikorbankan bagi majlis berkenaan yang diadakan di kediaman Pengerusi merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat-syarikat Serikandi, Shaikh Haji Khalid bin Shaikh Haji Ahmed.
Dalam mematuhi SOP yang ditetapkan hanya 100 orang menghadiri majlis berkenaan yang diselajurkan dengan menjamu hidangan. Daging-daging korban selebihnya diagihkan kepada keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan di daerah berkenaan dan dihantar sendiri oleh kakitangan syarikat ke rumah-rumah penerima.
Sementara itu, MPK Sungai Teraban pula telah bekerjasama dengan Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Teraban untuk melaksanakan majlis serupa, hari ini, di mana enam ekor kerbau telah dikorbankan bagi majlis berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin yang turut menyempurnakan pengagihan daging-daging korban.
Para penerima terdiri daripada 23 orang asnaf fakir miskin, 42 peserta ibadah korban dan 150 orang penduduk kampung sekitar.