Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Ratusan warga Indonesia yang menetap di Brunei Darussalam kelmarin berhimpun di perkarangan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Bandar Seri Begawan bagi menunaikan sembahyang Sunat Aidiladha 1446 Hijrah.
Meskipun cuaca hujan sejak awal pagi, suasana tetap meriah dan penuh semangat kekeluargaan apabila warga Indonesia hadir bersama ahli keluarga dan kenalan, bagi menyertai ibadah tahunan yang jatuh pada 7 Jun tahun ini.
Takbir raya bergema mengiringi kehadiran jemaah, dipimpin oleh Rustam T Harahap, sebelum sembahyang berjemaah dimulakan.
Kehadiran orang ramai ini menjadi peluang mengeratkan silaturahim sesama perantau, khususnya mereka yang tidak berpeluang pulang ke tanah air sempena Hari Raya.
Menurut kenyataan daripada KBRI, Aidiladha di Brunei Darussalam tahun ini jatuh satu hari selepas sambutan di Indonesia, yang meraikannya pada hari Jumaat, 6 Jun.
Mengulas mengenai perkara ini, Duta Besar Republik Indonesia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama, Prof. Dr Achmad Ubaedillah, menyatakan bahawa perbezaan tarikh Aidiladha antara negara-negara Islam merupakan sesuatu yang lumrah dalam tradisi umat Islam global.
“Perbezaan ini berpunca daripada kaedah penetapan awal bulan hijrah yang berbeza, sama ada melalui rukyah (pemerhatian hilal) atau hisab (kiraan astronomi). Brunei menetapkan tarikh Aidiladha selepas melakukan cerapan hilal di empat lokasi rasmi, yang kemudian disahkan oleh Ketua Hakim Syarie serta disaksikan oleh Mufti Kerajaan, pegawai Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pembangunan,” jelas beliau.
Warga yang hadir turut mendengarkan Khutbah Aidiladha yang telah disampaikan oleh seorang pensyarah yang berasal dari Indonesia yang kini mengajar di Universiti Brunei Darussalam (UBD), Prof Madya Dr Muhamad Abduh.
Dalam khutbahnya, beliau mengangkat tema penting yang berpaksikan khutbah Nabi Muhammad SAW di Padang Arafah semasa Haji Wada’.
Khutbah berkenaan menekankan kepada umat Islam agar menjadi individu yang bertakwa, adil, prihatin terhadap sesama, menolak sistem penindasan, serta membentuk keluarga yang penuh kasih sayang dan saling memahami.
“Sebagai umat Islam, kita harus memahami seluruh ajaran Rasulullah, bukan sekadar mengenali sejarahnya tetapi menghidupkan ajaran Baginda sebagai kompas kehidupan di era moden,” ujar Dr Abduh.
Selepas menunaikan sembahyang sunat berjemaah dan khutbah, acara diteruskan dengan sesi halal bihalal, ramah mesra serta jamuan santapan bersama yang disediakan oleh pihak kedutaan.
Majlis berkenaan menjadi peluang mengubat rindu kampung halaman serta mempererat hubungan antara komuniti Indonesia di Brunei dalam suasana yang penuh barakah dan kekeluargaan.