Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Kemeriahan Aidilfitri terus disemarakkan dengan berbalas kunjungan antara saudara mara dan rakan taulan, selain mengadakan pelbagai majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri yang penuh meriah sama ada di rumah atau di pejabat.
Sehubungan itu, Kumpulan Syarikat Hitune telah mengadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan silaturahim antara pegawai dan kakitangan syarikat berkenaan.
Pengerusi Kumpulan Syarikat Hitune, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang, yakin bahawa sambutan yang diadakan itu merupakan platform terbaik untuk mengeratkan hubungan mesra di kalangan kakitangan, sekali gus mengukuhkan hubungan serta persefahaman antara mereka.
“Pada hari yang penuh keberkatan ini, marilah kita bersama-sama menyatakan rasa syukur dan meriahkan lagi kedatangan Syawal dengan penuh kegembiraan dan kemuliaan,” ujar Pengiran Zamri.
Menurut beliau, majlis ini merupakan satu langkah positif untuk memperkukuhkan hubungan di kalangan kakitangan yang seterusnya akan menyumbang kepada peningkatan prestasi kerja di setiap bahagian.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Hitune, Dayang Hernah Nur Imani Muhammad Jeffery.
