Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman
Kenangan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada zaman dahulu masih segar dalam ingatan penulis, di mana lampu-lampu pelita dan cucul menerangi luar rumah pada waktu malam, khususnya di sepanjang rumah-rumah di Kampong Ayer. Selain daripada itu, suasana kanak-kanak riuh rendah bermain mercun dan bunga api jelas tergambar pada ketika itu. Manakala bagi pemudanya pula, mereka sibuk memainkan peti muzik lama bagi memeriahkan lagi suasana, di mana lagu yang paling diminati oleh mereka pada masa itu ialah lagu-lagu daripada Saloma, P.Ramlee dan Nona Asiah.
Pada zaman Hari Raya dahulu, anak-anak mudanya gemar memakai baju kameja panjang dan pendek tangan serta berseluar panjang. Manakala ada juga yang mengkeritingkan rambut, memakai minyak wangi dan sebagainya sebelum bertandang ke rumah rakan-rakan. Sementara itu, pada malam Hari Raya, terdengarnya alunan suara takbir Hari Raya, di mana para ibu bapa ada yang terlihat membawa anak-anak mereka bersama ke masjid atau surau untuk membayar zakat, sambil mendengarkan suara takbir berkenaan. Pada keesokan harinya pula, para ibu bapa membawa anak-anak dan cucu-cucu mereka menziarahi kubur bagi mengingati kaum keluarga yang sudah meninggal dunia, beramai-ramai membaca Surah Yasin dan Tahlil. Selepas itu menjirus air asah-asahan (campuran air dengan pelbagai jenis bunga dan haruman seperti bunga melur dan cempaka) ke pusara. Sebelum pulang, ada di antara mereka itu akan menghulurkan sedekah wang syiling kepada kanak-kanak yang mengikuti acara berkenaan. Ianya masih diamalkan sehingga hari ini.
