Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Lebih 40 pegawai dan kakitangan masjid Zon 2 telah meraikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang telah diadakan di Masjid Kampung Kilanas, hari ini.
Antara tujuan majlis itu adalah untuk merapatkan silaturahim di antara sesama para pegawai dan kakitangan masjid dalam zon berkenaan, sekali gus bermaaf-maafan di samping memperbanyakkan selawat.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu ialah Ketua Pegawai Pemantau Zon 1 Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Saufi bin Haji Suhaini; dan Ketua Pegawai Pemantau Zon 2 JHEM, KHEU, Haji Muhammad Azrol Alim bin Haji Zaini.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan tahlil serta Doa Allah Peliharakan Sultan yang dibacakan oleh Haji Sudirman bin Haji Metusin. Majlis turut diserikan dengan ceramah yang disampaikan oleh Haji Iskandar bin Haji Buntar.
