BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Julai – Dalam menyemarakkan suasana Aidilfitri di negara ini, Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) turut tidak ketinggalan mengadakan Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di sekolah berkenaan, di sini, hari ini.
Hadir pada majlis tersebut ialah Pemangku Pengetua SMALHB, Hajah Azizah binti Haji Mohammad.
Majlis itu bertujuan sebagai wasilah untuk mengeratkan lagi silaturahim, jalinan kerjasama, bermaaf-maafan di antara para pelajar, guru-guru dan kakitangan sekolah berkenaan.
Majlis bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Ketua Badan Agama dan Akhlak, Majlis Pelajar 2017/2018, Awang Mohd Ruzaini bin Haji Rosli.

Acara kemudian diteruskan dengan ucapan oleh Hajah Azizah dan diikuti dengan ucapan daripada Yang Di-Pertua Penuntut, Majlis Pelajar 2017/2018, Awang Abdul Qawi@Ali Hariz bin Haji Ali Hassan. Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan lagu raya dan tayangan video, ‘Semarak Aidilfitri’.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Ketua Unit Al-Quran dan Hadith, Majlis Pelajar 2017/2018, Awang Husnul Bazli bin Rosli dan acara bersalam-salaman.