Sambutan Hari Sarawak secara maya 22 Julai ini

KUCHING, 15 JULAI – Sambutan Hari Sarawak tahun 2020 yang membawa tema ‘Sarawak Cemerlang’ akan diadakan secara maya dan disiarkan secara langsung menerusi pelbagai platform media sosial dari Miri pada 22 Julai ini, kata Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin.

Beliau, yang merupakan menteri bertanggungjawab bagi sambutan tersebut, berkata jumlah kehadiran ke tempat acara di sebuah hotel terkemuka di bandar raya itu juga akan dihadkan kepada seramai 250 orang, sepertimana ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Sambutan Hari Sarawak pada tahun ini amat berbeza lantaran susulan isu global pandemik COVID-19 namun, ia tetap dijangka meriah dan penuh bermakna.

“Pelbagai pengisian menggunakan platform digital yang disusun dan diatur Unit Protokol dan Pengurusan Acara Negeri selaku penganjur utama,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata sambutan tahun ini akan disiarkan secara langsung menerusi dua stesen televisyen swasta dan platform media sosial Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), tvSarawak dan Sarawak Event Channel mulai jam 9 malam pada hari berkenaan.

Lee berkata antara pengisian sambutan itu termasuk tarian pembukaan yang menampilkan gabungan tarian tradisional Sarawak dan persembahan Digital Light Balance, diikuti simbolik perasmian menampilkan pengembaraan Kenyalang Emas yang menelusuri seluruh Sarawak.

Sebuah dokumentari khas bertajuk ‘Marek Kinek Tok & Kelak’ yang memaparkan sejarah Sarawak serta segmen Aspirasi Rakyat berkenaan ucapan rakyat berbilang kaum di negeri, persembahan Alunan Kontemporari-Lagu ‘Tudung Periuk’ akan turut diadakan.

Persembahan lain termasuk sitkom bertajuk ‘Kampung Selepar Putus’, Kebanggaan Kamek, lagu khas ‘Tok Bok Sarawak’ dan koir medley lagu ‘Sarawakku Sayang’ dan ‘Pertiwi Tercinta’ oleh orkestra dan 40 penyanyi koir.

Kerajaan negeri menetapkan Hari Sarawak disambut setiap 22 Julai sejak 2016 dan diwartakan sebagai cuti umum bagi memperingati tarikh Gabenor Kerajaan Inggeris terakhir, Sir Alexander Waddell secara simbolik menyerahkan pentadbiran negeri ini kepada rakyat tempatan pada 1963.– Bernama