Wednesday, December 4, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sambutan Hari Terbuka PTE Belait meriah

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 1 FEB – Untuk membantu memperkenalkan pelajar kepada gaya hidup baharu pra-universiti atau tingkatan enam, terutamanya dengan Pusat Tingkatan Enam Belait (PTE Belait) baru-baru ini memulakan operasi pada awal tahun ini, pusat berkenaan telah menganjurkan aktiviti ‘Hari Terbuka’ di premis sekolah.

    Diadakan selama dua hari dari 30 Januari hingga hari ini, acara hari pertama menyaksikan lebih daripada 200 pelajar dari enam sekolah dibahagikan kepada kumpulan untuk melawat dan mengenali lebih dekat lagi mengenai pusat yang baru dibuka itu.

    Sekolah yang mengambil bahagian termasuk Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, Maktab Anthony Abell, Sekolah St Margaret, Sekolah St James, Sekolah St John dan Sekolah St Angela.

    Hadir untuk mengalu-alukan pelajar ke sekolah adalah Pengetua Kanan Pentadbiran untuk PTE Belait, Dayang Jasmine binti Jumat serta guru-guru dan kakitangan sekolah. Selain melawat dan meninjau kemudahan yang disediakan seperti bilik kuliah, makmal sains dan bangunan fakulti, pelajar juga menghadiri taklimat akademik yang merangkumi pelbagai kursus yang ditawarkan di sekolah oleh kakitangan pentadbiran sekolah serta ceramah motivasi dari unit kaunseling sekolah. Pelajar juga didedahkan kepada mata pelajaran yang ditawarkan menerusi pameran serta hasil kerja tangan pelajar.

    Aktiviti hari kedua melihat lebih daripada lima sekolah dari daerah ini melawat PTE Belait, yang termasuk Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Sekolah Menengah Perdana Wazir, Sekolah Menengah Chung Hua dan Sekolah Menengah Chung Ching. Pengetua PTE Belait, Pengiran Hajah Zainun binti Pengiran Mudin menjelaskan mengenai kepentingan Hari Terbuka, terutamanya tahun ini memandangkan PTE Belait baru sahaja memulakan operasi awal tahun ini. Hari Terbuka dianjurkan bertujuan membantu memperkenalkan pelajar kepada persekitaran pembelajaran baharu di mana mereka akan menghabiskan dua tahun mengasah kemahiran mereka.

    “PTE Belait merupakan kampus baharu yang menumpu pada pendidikan tingkatan enam, iaitu A-Level di Daerah Belait, dan sementara ia bukan sebuah sekolah yang baru ditubuhkan kerana pelajar sekarang yang belajar di sini datang dari pusat tingkatan enam yang terletak di Sekolah Menengah Sayyidina Ali, dan mereka kini berada dalam tahun kedua di sini. Kami hanya berpindah ke kampus baharu ini akhir tahun lalu,” ujarnya.

    Pengiran Hajah Zainun berkata buat masa sekarang terdapat 112 pelajar dalam tahun kedua mereka bersama 46 orang guru dan kakitangan. “Sementara Hari Terbuka ialah tradisi tahunan untuk pusat tingkatan enam dan kali pertama diadakan di kampus ini, ia memberikan peluang kepada ibu bapa dan pelajar melihat lebih dekat pada kemudahan yang disediakan.”

    Beliau berharap pelajar akan memanfaatkan sepenuhnya masa mereka semasa belajar di sekolah serta tabah menghadapi pelbagai cabaran yang bakal ditempuhi dalam pembelajaran.

    Turut hadir untuk mengalu-alukan pelajar dan ibu bapa adalah Timbalan Pengetua Pentadbiran PTE Belait, Awang Mohd Shamry Haji Mohd Sani dan Timbalan Pengetua Akademik PTE Belait, Lee Siew Peng @ Joanne.

    Para hadirin melawat salah sebuah bilik dan fakulti semasa Hari Terbuka yang dianjurkan PTE Belait baru-baru ini.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda