BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Bagi memperingati peristiwa agung penghijrahan Baginda Rasulullah SAW dari kota Mekah Al-Mukarramah ke kota Madinah Al-Munawwarah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar telah mengadakan Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1446, baru-baru ini, bertempat di Surau Al-Syafi’i UNISSA.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Timbalan Rektor UNISSA, Dr Haji Arman bin Haji Asmad.
Turut hadir ialah penolong-penolong rektor, pegawai-pegawai utama, tenaga akademik, pegawai dan kakitangan UNISSA.
Sambutan tersebut dimulakan dengan bacaan mingguan Surah Yasin, tahlil dan doa yang dipimpin oleh Pegawai Ugama UNISSA, Pengiran Mohammad Daud bin Pengiran Matassan.
Majlis kemudian disemarakkan dengan penyampaian tazkirah khas bertema Memelihara Akal, Masyarakat Sejahtera oleh Penolong Profesor dari Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, Dr Kamaru Salam bin Yusof.
Antara inti pati yang dapat diambil daripada tazkirah berkenaan adalah masyarakat yang sejahtera bermula daripada setiap individu yang menjaga akalnya dan mempraktikkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan harian.
Ia termasuklah menjaga hubungan yang baik dengan Allah SWT, berinteraksi dengan sesama manusia dengan penuh kasih sayang dan hormat-menghormati serta memastikan segala tindakan yang dilakukan memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.
Oleh itu, kita dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran dan amalan dalam mengembangkan potensi akal yang Allah SWT kurniakan serta bersama-sama berusaha membangunkan masyarakat yang sejahtera dengan mencontohi tauladan Rasulullah SAW dalam segala aspek kehidupan kita.
Majlis tersebut juga diadakan bagi memberi motivasi kepada warga UNISSA agar mencontohi semangat pengorbanan dan perjuangan Baginda Rasulullah SAW.