Oleh Sim Y. H & Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN – Dalam menyemarakkan lagi sambutan Israk dan Mikraj tahun ini, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) tidak ketinggalan mengadakan majlis seumpamanya yang berlangsung di dewan maktab berkenaan di Gadong, baru-baru ini.
Majlis Sambutan Israk dan Mikraj yang diselenggarakan oleh Jabatan Pengajian Islam, Maktab Duli itu dihadiri oleh warga maktab berkenaan.
Majlis tersebut diisikan dengan ceramah bertajuk ‘Tazkirah memperingati Israk dan Mikraj Rasulullah S.A.W.’ yang disampaikan oleh penceramah bertauliah dari Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Pengiran Abdul Basit bin Pengiran Haji Zaini.
Majlis tersebut antara lain bertujuan bagi menyingkap rahsia kebesaran malam 27 Rejab dan memberi peluang untuk meningkatkan ketakwaan dan keimaman kepada Allah S.W.T.
Selain itu, ia juga diharap dapat memberi pendedahan awal kepada pelajar-pelajar tentang sirah Rasulullah S.A.W yang berkaitan dengan peristiwa Israk dan Mikraj dan mengetahui serta menghayati peristiwa di sebalik kepentingan ibadat solat bagi umat Islam.



Sementara itu, dalam majlis yang berasingan, Masjid Kampung Batu Marang juga turut mengadakan majlis yang serupa di masjid berkenaan, baru-baru ini.
Majlis tersebut diserikan dengan ceramah khas mengenai peristiwa Israk dan Mikraj yang disampaikan oleh pensyarah di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr Shohibuddin bin Haji Laming yang antara lain menerangkan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan satu inspirasi saintifik yang mendorong umat Islam untuk berfikir dan mengintegrasikan sains dalam akidah dan ibadah.
Ceramah khas sempena sambutan Israk dan Mikraj itu merupakan anjuran Jawatankuasa Eksekutif Takmir Masjid Kampung Batu Marang.
Menurut imam masjid berkenaan, Awang Muhammad Sharine Hadiman bin Sahari yang juga selaku Setiausaha Takmir menyatakan bahawa sambutan tersebut adalah bagi menyemarakkan lagi sambutan Israk dan Mikraj, seperti mana yang telah diadakan sebelum ini.
Kelebihan sembahyang berjemaah
Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar turut mengadakan majlis seumpamanya di Surau Al Syafi’e, UNISSA, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Majlis tersebut didahului dengan bacaan khatam Al-Quran beramai-ramai bagi warga kerja UNISSA yang diketuai oleh Pegawai Keugamaan UNISSA, Haji Mohammad Ali Taufiq bin Haji Abdul Rahman dan diteruskan dengan bacaan tahlil.


Majlis tersebut juga diserikan lagi dengan forum khas yang disampaikan oleh pelajar-pelajar lepasan ijazah UNISSA, iaitu mahasiswa Program Phd Sejarah dan Tamadun Islam, Awang Nur Muhammad Firdaus bin Abu Bakar, mahasiswa Program PhD Bahasa Arab dari Pattani, Thailand, Aman Chehama dan mahasiswa Program Sarjana Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi’e dari Indonesia, Danang Kuncoro Wicaksono.
Forum tersebut telah dipengerusikan oleh mahasiswa Program Phd Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi’e, Awang Hafini bin Mahmud.
Forum tersebut antara lain mengupas mengenai kisah perjalanan Rasulullah S.A.W dari Masjidil Haram di Mekah menuju Masjidil Aqsa di Palestin dalam waktu yang singkat dan seterusnya ke Sidratul Muntaha bagi menerima pensyariatan sembahyang fardu lima waktu.
Pensyariatan sembahyang yang diterima dalam peristiwa ini menunjukkan keistimewaan dan kepentingan ibadah sembahyang fardu lima waktu itu sebagai amalan yang mengangkat darjat manusia.
Bertepatan dengan tema sambutan Israk dan Mikraj peringkat negara tahun ini iaitu ‘Sembahyang Berjemaah Meraih Berkat’, forum juga menekankan kepentingan sembahyang berjemaah sebagai wadah memupuk semangat perpaduan dalam kalangan umat Islam.
Oleh itu, institusi masjid menjadi platform untuk menangani masalah sosial dan kemasyarakatan melalui sembahyang berjemaah pada setiap waktu.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah Timbalan Rektor UNISSA, Dr Haji Mohd Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, pegawai-pegawai utama, para pensyarah serta pegawai-pegawai dan kakitangan UNISSA.