BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah mengadakan Majlis Sambutan Israk dan Mikraj yang diadakan di Auditorium, UNISSA, di sini, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Majlis berkenaan didahului dengan bacaan khatam Al-Quran beramai-ramai bagi warga kerja UNISSA yang dike-tuai oleh Pengarah Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa UNISSA, Haji Sammali bin Haji Adam dan diteruskan dengan bacaan tahlil.
Majlis turut diserikan dengan ceramah khas yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Dr. Abdurrahman Raden Aji Haqqi.
Dr. Abdurrahman dalam ceramahnya menyentuh mengenai bagaimana kisah perjalanan yang dilalui oleh Rasulullah S.A.W daripada Masjidil Haram di Mekah menuju Masjidil Aqsa di Palestin dalam waktu yang singkat dan pertemuan yang diadakan di Sidratul Muntaha.

Peristiwa yang penuh dengan keajaiban itu bertepatan dengan tema Sambutan Israk dan Mikraj Peringat Negara tahun ini iaitu ‘Iman Teguh Akidah Kukuh’.
Dr. Abdurrahman menyatakan bahawa keimanan seseorang terhadap kekuasaan Allah S.W.T dalam mengatur perjalanan Rasulullah S.A.W tanda kemantapan akidah seseorang.
Akal fikiran yang hanya berpandu kepada logik sahaja tidak akan faham malah akan mudah melontarkan tuduhan jika tidak melihat perkara ini kepada Al-Quran dan Hadis, katanya.
Majlis juga diisikan lagi dengan bengkel bacaan dalam sembahyang yang bertujuan untuk menghalusi dan memperbaiki bacaan Al-Fatihah, bacaan tasyahud dan yang lain-lain.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah Timbalan Rektor UNISSA, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Penolong Rektor UNISSA, Dr. Arman bin Haji Asmad, pegawai-pegawai utama, para pensyarah serta pegawai dan kakitangan UNISSA.