Oleh Salawati Haji Yahya & Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Sambutan Israk dan Mikraj tahun ini disemarakkan dengan pelbagai majlis keagamaan yang dianjurkan oleh kementerian-kementerian serta institusi pendidikan di negara ini.
Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengadakan Majlis Sambutan Israk Mikraj bagi tahun 1446H/2025M, yang berlangsung di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi) Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani; pemangku setiausaha-setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian beserta pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan- jabatan di bawahnya.
Dalam majlis tersebut, ceramah bertajuk Menelusuri ‘Ibrah Peristiwa Israk dan Mikraj disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) turut mengadakan majlis serupa yang berlangsung di Dewan Digadong, Bangunan KKBS.
Majlis dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Surah An-Najm oleh orang kelainan upaya (OKU) penglihatan, Awang Mohammad Sufizan bin Sofian; dan OKU anggota, Awangku Muhammad Amirul Faiq@Awangku Abdul Hakeem bin Pengiran Zali.
Majlis tersebut juga diserikan dengan tazkirah khas bertajuk Sambutan Israk dan Mikraj yang disampaikan oleh Pegawai Pelajaran, Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan, Haji Sammali bin Haji Adam.
Di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Pejabat Hal Ehwal Pelajar mengadakan Majlis Sambutan Israk dan Mikraj 1446H/2025M di Surau Al-Syafi’i, UNISSA.
Majlis dihadiri oleh Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, selaku tetamu kehormat.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil yang dipimpin oleh Haji Mohammad Khairul Nazif bin Haji Awang Damit, diikuti dengan bacaan doa oleh Pengiran Mohammad Daud bin Pengiran Matassan.
Tazkirah khas bertajuk Sembahyang Mencerdaskan Minda disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor, Fakulti Usuluddin, UNISSA, Dr Mohamed Fathy Mohamed Abdelgelil, yang menekankan bagaimana sembahyang bukan hanya ibadah zahir, tetapi juga memberi manfaat kepada aspek rohani dan mental.
Majlis tersebut diadakan untuk memperingati peristiwa agung perjalanan Baginda Rasulullah SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan menuju ke Sidratul Muntaha sebagai tanda kebesaran Allah SWT. Selain itu, ia untuk meningkatkan kefahaman dan pengetahuan umat Islam mengenai peristiwa tersebut.