Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang ke-60 atau Sambutan Jubli Intan yang akan diraikan pada 31 Mei ini di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien akan dibuat secara tertutup.
Bagaimanapun bagi memberi peluang orang ramai untuk menyaksikan acara kemuncak perbarisan raksasa tersebut, ia akan ditayangkan secara langsung di Radio Televisyen Brunei (RTB) dan turut dikongsi secara atas talian melalui siaran langsung melalui aplikasi RTB-Go.
Sambutan Jubli Intan ini akan mengetengahkan dua segmen iaitu segmen pertama melibatkan perbarisan raksasa, manakala segmen kedua meliputi Pameran Keupayaan Tentera dan Pelancaran Kertas Putih Pertahanan 2021 yang akan diadakan di sekitar kawasan dan bangunan Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei di Jalan Residency, Kampung Subok.
Namun begitu berbeza daripada sambutan sebelumnya, sambutan kali ini tidak akan mengetengahkan Pameran Statik (Kelengkapan Tentera), bazar dan fun fair serta sambutan juga akan dibuat secara tertutup.
Ia diraikan secara tertutup adalah sebagai langkah berjaga-jaga dalam menangani penularan wabak COVID-19 serta untuk mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan bagi memastikan negara kita sentiasa dalam keadaan selamat dan bebas daripada wabak berkenaan. Bagaimanapun ABDB juga akan menjemput wakil-wakil dari agensi-agensi keselamatan yang lain dan agensi-agensi berkepentingan termasuk persatuan beruniform dalam mendukung hasrat kerajaan melalui Whole of Nation Approach.
Sementara itu, majlis Doa Kesyukuran akan diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan; Masjid Haji Abdul Azim, Kampung Luagan Dudok di Daerah Tutong; Masjid Pekan Seria di Daerah Belait; dan Masjid Perumahan Negara Kampung Rataie di Daerah Temburong di mana acara akan bermula dari Maghrib hingga Isyak dengan pengisian sembahyang sunat Hajat, membaca Surah Yasin dan Tahlil dan Bacaan Doa Khas.
Orang ramai adalah dijemput dan dialu-alukan untuk hadir sama meramaikan majlis Doa Kesyukuran yang diadakan di masjid-masjid berkenaan dengan mengikuti SOP seperti mengimbas kod QR, berwuduk sebelum ke masjid, memakai penutup mulut dan hidung, membawa tikar sembahyang bersaiz besar, membuat pemeriksaan suhu badan, digalakkan mensanitasi tangan menggunakan gel sanitasi, melaksanakan penjarakan sosial serta tidak digalakkan untuk bersalam-salaman.
Sambutan Jubli Intan ABDB membawa tema ‘Bersama Menjayakan Wawasan Negara’ di mana tema itu adalah selaras dengan tema hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-37 iaitu ‘Menjayakan Wawasan Negara’.
Seperti tahun sebelumnya, tema sambutan yang sama masih diguna pakai iaitu ‘Bersama Menjayakan Wawasan Negara’ sebagai kesinambungan untuk terus memberikan kerjasama yang padu dan sama-sama mengungkayahkan Wawasan Negara Brunei Darussalam 2035.
Tema itu bertepatan dengan peranan ABDB iaitu mendukung kemajuan dan pembangunan negara secara holistik, dengan memastikan persekitaran yang aman dan damai melalui pertahanan dan sekuriti yang jitu.
Sebagai manifestasi tema berkenaan, ABDB adalah tonggak pertahanan dan keselamatan negara, ejen dan pemangkin terhadap perpaduan serta integrasi antara agensi-agensi keselamatan negara bagi memantapkan kestabilan dan keamanan negara serta pada masa yang sama menyumbang kepada kesejahteraan serantau dan antarabangsa.