Oleh Yusrin Junaidi, Syahmi Hassan & Sahama
Gambar oleh Muiz Matdani, Yusrin Junaidi & Sahama
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Sambutan Awal Tahun Baharu 1442 Hijrah terus bersemarak dengan pelbagai acara yang dianjurkan oleh pelbagai pihak di negara ini.
Badan Ugama Islam (BUI), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) adalah antara yang menyemarakkan hari kebesaran Islam ini dengan menganjurkan Forum Maal Hijrah yang berlangsung di Surau Ibu Pejabat Polis Gadong pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat pada forum itu ialah Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.
Turut hadir ialah timbalan pesuruhjaya polis, pegawai-pegawai kanan, pegawai, anggota serta kakitangan awam di mana kira-kira 120 orang hadir bagi menyemarakkan forum berkenaan.
Forum bertajuk ‘Islam dan Pandemik COVID-19, Norma Baharu dan Umat Islam’ itu menampilkan Dr Hambali bin Haji Jaili dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Dayang Norhayati binti Haji Abdul Rahman dari Pusat Dakwah Islamiah sebagai panel jemputan dengan Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar selaku pengerusi.




Antara pengisian forum adalah memberikan kefahaman kepada warga pasukan mengenai kehidupan norma baharu sejajar dengan penghijrahan diri dalam mencari keredaan Allah dalam menjalani tugasan seharian.
Selain itu, ia dapat memberi pengajaran bahawa Islam memberikan motivasi di mana semua ujian yang Allah beri itu adalah sebagai tanda kasih sayang Allah kepada umatnya untuk mempertingkatkan lagi iman seseorang pada Allah SWT.
Sementara itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya pula mengadakan Majlis Sambutan Awal Tahun 1442 Hijrah di Dewan PM Dato Sarifuddin, Bangunan Arkib, KKBS.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di KKBS, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.
Majlis diisikan dengan bacaan ayat-ayat Suci Al-Quran sebelum diserikan dengan ceramah khas yang disampaikan oleh penceramah jemputan.
Ceramah khas anjuran KKBS pada tahun ini menjemput penceramah dari Pusat Dakwah Islamiah, Haji Awang Muhammad Naqib bin Haji Awang dengan tajuk yang berkisar dengan tema Sambutan Awal Tahun Hijrah Kebangsaan 1442 iaitu ‘Generasi Berilmu, Beramal dan Berakhlak Memacu Pembangunan Umat’.
Turut memeriahkan awal tahun baharu Hijrah, hari ini, ialah Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang telah mengadakan majlis ceramah khas di Bilik Senat, Dewan Canselor UBD.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz.
Manakala itu, ceramah telah disampaikan oleh pensyarah dan Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Haji Mohd Shahrol Azmi bin Haji Muluk dengan tajuk ceramah beliau, ‘Generasi Cemerlang di Sisi Allah, Bagaimana Caranya?’
Ceramah tersebut juga bersesuaian dengan bermulanya semester pertama dan pengambilan mahasiswa dan mahasiswi sesi 2020/2021 yang baru bermula Ogos ini.
Bagi majlis kali ini, keramaian tetamu hanya dihadkan kepada para pensyarah, pegawai dan kakitangan seramai 30 orang sementara itu, seramai 50 orang untuk mahasiswa dan mahasiswi UBD dan 20 orang sahaja ahli jawatankuasa kerja majlis.
Memandangkan keramaian terhad, maka pihak penganjur juga menyediakan siaran langsung secara dalam talian untuk dikongsikan bersama warga UBD yang lain dan orang ramai.
Sementara itu, baru-baru ini, Unit Kerohanian dan Keagamaan, Pusat Pembangunan Belia (PPB), KKBS pula telah mengungkayahkan majlis Sambutan Maal Hijrah 1442 yang berlangsung di Surau PPB di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penolong Pengarah PPB, Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh.
Majlis telah diisikan dengan bacaan ayat Suci Al-Quran diikuti dengan tayangan video bertajuk ‘Penghijrahanku’ yang diungkayahkan oleh pelatih PPB 2020. Acara kemuncak majlis ialah penyampaian Anugerah At-Tolib Al-Mumtaz yang disempurnakan oleh tetamu kehormat. Penyampaian anugerah berkenaan berdasarkan penilaian dari segi fasahah, tajwid dan boleh membawakan beberapa alunan tilawah Al-Quran.
Bagi peserta lelaki, anugerah dimenangi oleh Awang Muhammad Zulhakim bin Omarali dari Kursus Kimpalan dan Fabrikasi sementara peserta perempuan pula ialah Dayang Atiqah binti Yusri dari Kursus Pastri dan Konfeksi.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah para pegawai dan warga PPB serta para pelatih kursus.