Sambutan Maulud dulu dan sekarang

Oleh Yusrin Junaidi

Perarakan Maulud Nabi SAW baru sahaja berlalu dengan meriahnya hujung minggu lalu.

Namun bagi sebahagian, kenangan lama masih jelas terpahat dalam ingatan sewaktu meraikan sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW sekitar tahun 60an hingga 70an yang kini menjadi ristaan dan nostalgia buat masyarakat Brunei ketika itu, jelas menunjukkan terdapat sedikit perubahan seiring dengan peredaran zaman.

Meskipun tempat perarakan sambutan tersebut sekitar 1960an bermula di tempat yang sama iaitu di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien yang dulunya dikenali sebagai Padang Besar, tetapi jarak perarakan mengelilingi Bandar Brunei yang kini ditukar kepada Bandar Seri Begawan mungkin sedikit berubah.

Lazimnya semasa acara tersebut, para peserta yang mengambil bahagian berdiri di sekeliling padang sambil mendengarkan syarahan agama yang disampaikan oleh Kadi Besar dari Jabatan Hal Ehwal Ugama dan apabila selesai sahaja syarahan, selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW akan dilaungkan sebanyak tiga kali, kemudian barulah pasukan berarak keluar mengelilingi Bandar Seri Begawan.

Sambutan maulud dahulu

Mengimbas kembali atur cara sambutan itu sekitar tahun berkenaan, beberapa orang peserta telah berkongsi pengalaman mereka sewaktu mengikuti perarakan berkenaan.

Haji Sohaili (kanan) bersama rakannya ketika menyertai perarakan maulud.
Salah sebuah pasukan yang mengenakan pakaian seragam memeriahkan lagi acara tersebut.
– Gambar Infofoto
Penyertaan orang ramai bagi sama-sama meraikan lagi sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW sambil berselawat dan berzikir menelusuri Bandar Seri Begawan. – Gambar Infofoto
Beberapa orang kanak-kanak bersama ibu mereka ketika menghulurkan sedekah.

Menurut Pengiran Haji Adanan bin Pengiran Haji Besar semasa mengongsikan pengalamannya berkata bahawa sekitar tahun 1970an, peserta yang menyertai perarakan tidaklah sebanyak penyertaan pada masa ini.

“Peserta yang mengambil bahagian dalam perarakan tahun berkenaan secara keseluruhannya dianggarkan kira-kira 3,000 peserta sahaja kerana setiap sebuah persatuan hanya disertai lebih kurang 20 orang,” jelasnya.

Sementara itu, menurut Haji Puasa bin Barudin ketika dihubungi Media Permata mengongsikan pengalamannya sewaktu zaman kanak-kanak, di mana menurutnya sambutan tersebut sangat meriah memandangkan penyertaan juga terdiri daripada kaum wanita serta penuntut-penuntut perempuan yang sama-sama turut serta berarak mengelilingi Bandar Seri Begawan.

Manakala pada masa ini, tambahnya, kaum wanita kini telah diberikan ruang khusus bagi sama-sama meraikan sambutan tersebut dengan penganjuran ceramah khas sebagai acara kemuncaknya.

Pengiran Hajah Hadijah pula, isteri kepada salah seorang peserta perarakan Maulud sekitar tahun berkenaan berkongsi pengalaman suaminya yang ketika itu menyertai sambutan itu, berkata bahawa jika dahulu kebanyakan para peserta hanya mengenakan pakaian uniform sekolah, jabatan atau sesebuah institusi, tetapi kini perarakan tersebut dilihat sedikit berubah dengan pelbagai warna pakaian telah dikenakan oleh sesebuah pasukan.

“Salah satu perubahan dalam sambutan tersebut juga ialah penganjuran pertandingan. Ketika dahulu, tiada sebarang pertandingan dalam sambutan tersebut, tetapi kini pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengambil inisiatif positif untuk mengadakan pertandingan mengikut kategori dan disiplin masing-masing bagi menambah baik perbarisan dan mengemaskini atur cara tersebut.

Sambutan maulud pada masa ini

Menurut Haji Sohaili bin Haji Mohidi, salah seorang peserta yang menyertai acara perarakan sambutan berkenaan baru-baru ini, perarakan ketika ini sangat memberangsangkan.

“Para belia masa ini dilihat tidak melepaskan peluang untuk menyertai acara seumpama ini melalui pihak-pihak berkenaan terutamanya Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Jabatan Hal Ehwal Masjid serta Jabatan Daerah Brunei dan Muara dan juga melalui bahagian institusi mukim dan kampung.”

Begitu juga komitmen penyertaan jelas terlihat daripada para pembesar-pembesar, para pegawai-pegawai tertinggi kerajaan, pihak kedutaan terutamanya di kalangan perwakilan negara-negara Islam serta rakyat negara berkenaan yang bekerja dan bermastautin di negara ini.

Jelasnya lagi acara itu turut tidak ketinggalan disertai oleh pasukan dari dewan-dewan perniagaan dan persatuan serta kesatuan belia dan warga emas. Terlihat juga keceriaan para peserta kanak-kanak seawal usia empat tahun turut sama-sama memeriahkan lagi acara tersebut dengan mengenakan pakaian seragam yang cantik, sekali gus jelas mempamerkan budaya keMelayuan dan keIslaman yang tulin. Tidak ketinggalan juga kecekapan para pegawai dan kakitangan Jabatan Bandaran dan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi yang bertanggungjawab dalam menjaga harta benda serta mengekalkan persekitaran yang bersih dan sihat.

Sedekah

Amalan bersedekah merupakan salah satu lagi perubahan yang ketara dari tahun ke tahun dalam acara yang penuh keberkatan ini.

Mana tidaknya, jika dilihat dari dahulu sehingga masa ini, orang ramai yang ingin melakukan amalan bersedekah dalam acara ini semakin bertambah saban tahun. Apa yang menarik dan uniknya, mereka menghulurkan sedekah dalam pelbagai cara seperti menyumbangkan makanan untuk para peserta perarakan dan ada juga yang menghulurkan minuman di tepi-tepi jalan semasa perarakan dijalankan.

Seawal Subuh lagi, orang ramai terutamanya wanita, mula ‘menempah’ tempat di tepi-tepi jalan untuk mengagihkan sedekah mereka yang bagaikan suatu tradisi dan sinonim dengan acara Maulidur Rasul di negara ini.

Awang Mohd Norfadel bin Haji Hassan yang turut serta memeriahkan acara itu mengatakan mereka telah turun seawal 3 pagi lagi bagi mendapatkan tempat terbaik untuk mengagihkan sedekah yang bermula pada pukul 7 pagi. Seorang lagi yang tidak mahu ketinggalan bersedekah ialah Pengiran Haji Yusri bin Pengiran Haji Metussin dari Kampung Mentiri, berkata “Kami mengagihkan sedekah sebanyak 60 bungkus mi goreng dan empat kotak minuman di hadapan bangunan Bank Islam Brunei Darussalam.