Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan jabatan-jabatan di bawahnya mengadakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi tahun 2021 secara maya, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong.
Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, diikuti dengan ceramah khas bertajuk ‘Cara Rasulullah Hadapi Ujian’ yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Pengkajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Mohd Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk.
Acara diteruskan dengan persembahan Dikir Marhaban daripada warga kementerian serta jabatan-jabatan di bawahnya dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat agar terhindar daripada Wabak COVID-19 dan Doa Peliharakan Sultan.
Turut menyertai majlis berkenaan ialah setiausaha tetap; timbalan-timbalan setiausaha tetap; ketua-ketua jabatan dan bahagian; pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian serta jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi KSSUP ini dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan dan ianya merupakan kegiatan tahunan pihak kementerian berkenaan bagi menyemarakkan lagi sambutan hari-hari kebesaran Islam.
Sementara itu, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) juga mengadakan majlis ceramah sempena sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi tahun 1443 Hijrah, secara maya, kelmarin.
Majlis yang dikelolakan bersama oleh Jabatan Kemajuan dan Jabatan Perkhidmatan Teknikal, JKR itu dihadiri Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Haji Suhaimi bin Haji Gafar selaku tetamu kehormat.
Ceramah khas bertajuk ‘Cinta Rasul, Cinta Terindah’ disampaikan oleh Pegawai Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama Awang Mohammad Nasyith bin Superi.
Majlis diakhiri dengan doa memohon dijauhkan daripada wabak COVID-19 dan Doa Peliharakan Sultan yang diketuai oleh Awang Mohammad Nasyith.
Turut hadir secara maya di majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap Kementerian Pembangunan, pemangku ketua pengarah kerja raya, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai serta kakitangan di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.