Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Penghantaran borang Peraduan FIFA World Cup Russia 2018 Guess The Semi-Finalist terakhir hari ini menyaksikan orang ramai membanjiri premis Brunei Press Sdn Bhd bagi mencuba peluang memenangi hadiah-hadiah menarik ditawarkan dalam peraduan tersebut.
Semangat berkobar-kobar untuk menjadi salah seorang pemenang peraduan ini jelas kelihatan dalam kalangan orang ramai apabila ada yang menghantar lebih daripada 10 penyertaan, ditambah minat mendalam menyokong pasukan kegemaran masing-masing untuk menjulang Piala Dunia tahun ini.
Peraduan anjuran Borneo Bulletin dan Media Permata itu menawarkan pelbagai hadiah menarik dengan hadiah utama merupakan sebuah kereta Hyundai Verna SX 1.6 Auto tajaan Setia Motors Sdn Bhd selain akaun simpanan tajaan Baiduri dan baucar tajaan McDonald’s.
Cabutan akhir akan diadakan pada 26 Julai kelak dan nama-nama pemenang akan diumumkan dalam akhbar Media Permata dan Borneo Bulletin.
