LABUAN, 24 SEPT – Fasa dua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja membabitkan pelajar sekolah berusia 13 hingga 15 tahun di Labuan berjalan lancar dan menerima sambutan menggalakkan daripada ibu bapa sejak dimulakan dua hari lepas
(22 Sept).
Pengerusi Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-9 (CITF) Labuan Rithuan Ismail berkata ibu bapa dan penjaga yang membawa anak masing-masing dilihat tiba seawal pukul 7 pagi di dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Kolej Matrikulasi Labuan dan Kompleks Darul Kifayah, di sini.
“Mereka tidak mahu terlepas peluang mendapatkan vaksin yang diyakini dapat membantu melindungi anak-anak mereka daripada penularan COVID-19 lebih-lebih lagi menjelang pembukaan semula sesi persekolahan awal bulan depan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Rithuan berkata seramai 4,108 pelajar tingkatan satu, dua dan tiga dijadual mendapatkan vaksin di bawah program itu selama tiga hari berakhir petang ini. – Bernama


