Friday, May 2, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sambutan Panakod Adau Gayoh meriah

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Pakatan Sang Jati Dusun (PSJD) Negara Brunei Darussalam de-ngan kerjasama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bukit Udal dan Penapar pagi tadi mengadakan sambutan Panakod Adau Gayoh tahun 2025 dengan tema Saganawoh Nyimpod Amun Pagun (Sehati Mencapai Wawasan Negara) di dewan serba guna dan kawasan luar Dewan PSJD Kampung Padang, Bukit Udal.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri.

    Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengerusi majlis, Yang Dipertua PSJD, Awang Johan bin Benson yang mengatakan tahun ini pihak PSJD julung-julung kali mengadakan kelainan acara seperti pertandingan pakaian tradisi dan persembahan daripada kampung-kampung.

    Majlis itu bukan sekadar perayaan, tetapi ia merupakan manifestasi kepada penghargaan semua terhadap adat resam, nilai murni dan jati diri masyarakat Dusun yang kaya dengan warisan turun-temurun.

    “Dengan kerjasama erat antara PSJD dan MPK Bukit Udal dan Penapar, kekuatan komuniti terletak pada perpaduan dan semangat saling berganding bahu berat sama dijinjing ringan sama dipikul.

    Awang Mohammad Sofian semasa turut serta memeriahkan majlis tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    “Panakod Adau Gayoh juga memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali, memahami dan menghayati budaya nenek moyang kita. Inilah wadah untuk kita menyemai rasa cinta terhadap budaya sendiri dalam arus pemodenan yang begitu pesat,”
    tambahnya.

    Beliau juga berkata, acara berkenaan juga mempersembahkan untuk menyaksikan satu taridra atau sketsa bertanam dan menuai padi yang diilhamkan melibatkan gabungan tiga buah kampung (Rambai, Kuala Ungar dan Merimbun). Persepaduan ini buat julung-julung kalinya ditonjolkan dalam sejarah PSJD.

    Beliau secara peribadi merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Pemangku Ketua Kampung Kuala Ungar dan Merimbun, Awang Sani bin Nangkat, kerana begitu gigih menjayakan penyertaan pertama mereka dengan PSJD.

    Perayaan ini turut melibatkan penerapan aktiviti-aktiviti sukan tradisional seperti mengamping, mengisar padi, menumpah ambuyat dan pameran kebudayaan untuk mendidik generasi muda tentang warisan mereka.

    Sehubungan dengan itu satu inisiatif menghidupkan semula permainan gasing tradisi iaitu Ngayam Uwod yang telah lenyap sejak tahun 1970an akan diusahakan untuk dijadikan sebagai permainan sosiobudaya yang akan lebih memperkukuhkan statusnya sebagai permainan yang mempunyai peranan sangat penting dalam kehidupan puak Dusun.

    Acara turut diserikan dengan penghargaan kepada ahli-ahli yang berjasa, penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat yang disampaikan oleh Awang Eyad Samhan bin Nyawa, persembahan ancayau dan mengalai dari MPK Biro Kesenian, Kebudayaan dan Pelancongan Kampung Bukit Udal, persembahan Bisaya Sarawak, persembahan gabungan daripada Kampung Rambai, Merimbun dan Kuala Ungar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda