Sunday, April 27, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sambutan penghujung Syawal terus meriah di sana sini

    Oleh Hajah Saemah Kepli,Pg Fairol RMF, Normazlina M.D, Siti Nur Wasimah S & Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai – Walaupun bulan Syawal tinggal beberapa hari sahaja lagi, kemeriahan Sambutan Hari Raya Aidilfitri masih lagi terasa dengan pelbagai pihak mengadakan majlis-majlis sambutan.

    Hari ini, lebih 100 orang menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Labi II yang berlangsung di Kampung Rampayoh Mukim Labi, Kuala Belait.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Mohd Zamree bin Haji Junaidi dan isteri.

    Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Pemangku Penghulu Labi I, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput dan Penasihat MPK Labi II, Yang Dimuliakan Pehin Datu Paduka Raja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Shari bin Ahmad dan isteri.

    Ketua Kampung Labi II, Haji Matusin bin Matzin dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, majlis seperti itu dihasratkan akan dapat mengeratkan lagi semangat perpaduan dan kerjasama antara ahli-ahli MPK dan penduduk kampung, selain memberikan peluang beramah mesra dan kenal-mengenali pada majlis yang turut dihadiri oleh penduduk kampung berdekatan.

    Haji Mohd Zamree (duduk, tengah) bergambar ramai pada Majlis Sambutan Hari Raya anjuran MPK Kampung Labi II.
    Persembahan nyanyian Hari Raya daripada peserta kanak-kanak pada Majlis Sambutan Hari Raya anjuran MPK Kampung Labi II.

    Majlis turut dimeriahkan lagi dengan pelbagai persembahan antaranya Tausyeh, persembahan pentas, nyanyian lagu-lagu Hari Raya, tarian tradisional Ngajat, persembahan kugiran dan sebagainya.

    Sementara itu, baru-baru ini, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) cawangan Daerah Belait juga telah mengadakan majlis sambutan serupa yang dimeriahkan dengan pelbagai persembahan nyanyian dan tarian.

    Pengurus Pusat Ehsan cawangan Daerah Belait, Dayang Hamimah binti Haji Sapar dalam ucapannya selaku pengerusi majlis berkata, majlis tersebut merupakan aktiviti tahunan yang turut dihasratkan untuk mengeratkan lagi ikatan silaturahim antara para pelajar, ibu bapa, tenaga pengajar serta masyarakat sekeliling.

    Majlis bertambah meriah dengan persembahan-persembahan nyanyian dan tarian oleh pelajar-pelajar pusat tersebut selain cabutan hadiah bertuah yang menyediakan hadiah-hadiah istimewa untuk dibawa pulang.

    Merakamkan kenangan bergambar ramai di antara para pelajar, ibu bapa, tenaga-tenaga pengajar dan juga penaja serta penyumbang Majlis Sambutan Hari Raya Pusat Ehsan cawangan Daerah Belait.
    Persembahan nyanyian dan tarian daripada para pelajar Pusat Ehsan cawangan Daerah Belait pada Majlis Sambutan Hari Raya tersebut.
    Ahli Kelab Wing Chun mengadakan perhimpunan Hari Raya Aidilfitri di Restoran Soto Rindu dan Katering di Kampung Katimahar, Sengkurong.

    Di Daerah Brunei dan Muara, Kelab Wing Chun Kung Fu, baru-baru ini, telah mengadakan perhimpunan Hari Raya tahunannya yang dihadiri oleh ahli kelab dan rakan-rakan mereka.

    Majlis berlangsung di Restoran Soto Rindu dan Katering di Kampung Katimahar, Sengkurong di mana, ahli-ahli yang dipimpin oleh Awang Zainal Abidin menikmati pelbagai hidangan tradisional dalam suasana yang menyenangkan.

    Wing Chun adalah kung fu Cina selatan yang mengkhusus dalam pertempuran jarak dekat.

    Di Brunei, seni mempertahankan diri tradisi berkenaan diajar oleh Awang Zainal Abidin dan Pengiran Alexander di pangkalan kelab berkenaan di Kampung Sungai Tilong.

    Baru-baru ini juga, Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penggerak Seni Negara Brunei Darussalam (P3P) meraikan Hari Raya Aidilfitri 2018 di kediaman Yang Di-Pertua P3P, Hajah Sa’adiah binti Haji Ghazali di Kampung Lambak, Jalan Pasir Berakas.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Penasihat Agung P3P, Mejar (B) Haji Manaf bin Haji Kamis, dan Timbalan Yang Di-Pertua P3P, Awang Zolkflee Butir dan isteri berserta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan ahli-ahli P3P.

    Majlis bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dengan ahli-ahli P3P di samping dapat membincangkan mengenai aktiviti-aktiviti berhubung dengan kesenian bagi memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72 tahun.

    Ahli Jawatankuasa Tertinggi dan ahli-ahli P3P bergambar ramai bersama Yang Di-Pertua P3P pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2018.
    Antara penduduk di Simpang 120 Jalan Wasai Limuru yang turut menceriakan Sambutan Hari Raya. – Gambar oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi.

    Manakala itu, penduduk di Simpang 120 Wasai Limuru, Rancangan Perumahan Negara Kampung Meragang pula berpeluang beramah mesra pada majlis rumah terbuka yang diadakan di kediaman salah seorang penduduk di sana, Awang Muhamad bin Nayan.

    Antara objektif majlis adalah bagi merapatkan tali silaturahim antara penghuni Simpang 120 Jln Wasai Limuru, RPN Kampung Meragang dengan mengambil kira betapa pentingnya kerjasama antara jiran dalam menjaga keamanan kawasan kediaman serta persefahaman dan menjaga kebersihan bersama di samping mengenali jiran-jiran yang bermastautin di Simpang 120 berkenaan secara dekat.

    Majlis dikelolakan secara gotong-royong oleh penduduk di kejiranan Simpang 120 Jalan Wasai Limuru itu sendiri.

    Sekolah Fairview turut meraikan hari kemenangan setelah mengerjakan ibadat puasa dalam bulan Ramadan dengan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di sekolah berkenan, baru-baru ini.

    Hadir pada majlis itu ialah Pengarah Urusan sekolah berkenaan, Dato Seri Laila Jasa Haji Ahmad bin Dato Paduka Haji Matnoor dan Guru Besar sekolah, Datin Paduka Hajah Fatimah binti Dato Paduka Haji Husain serta ibu bapa dan pelajar sekolah.

    Dato Seri Laila Jasa Haji Ahmad dan Datin Paduka Hajah Fatimah bergambar ramai bersama guru dan murid-murid Sekolah Fairview pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri.
    Para pelajar Sekolah Fairview bergambar ramai pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    Majlis tahunan itu bertujuan untuk meraikan dan menghayati bulan-bulan kebesaran Islam di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara kalangan warga sekolah serta ibu bapa dan penjaga.

    Di samping itu, ia juga diharap akan dapat mengamalkan cara hidup yang baik dengan bermaaf-maafan dan menghormati antara satu sama yang lain.

    Majlis diisikan dengan pelbagai persembahan menarik seperti persembahan nyanyian oleh para pelajar rendah bawah dan atas, persembahan memperagakan pakaian cantik bagi pelajar-pelajar pra sekolah dan persembahan pantun Hari Raya Aidilfitri oleh pelajar-pelajar rendah atas dan bawah.

    Sementara itu, alumni pengambilan pertama  Aliran Inggeris Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMJA) 1975 telah mengadakan Majlis Silaturahmi Aidilfitri di rumah salah seorang ahli kumpulan berkenaan di Kampung Bengkurong.

    Lebih kurang 150 orang ahli termasuk ahli keluarga masing-masing menghadiri majlis berkenaan yang merupakan aktiviti tahunan alumni berkenaan dengan tujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli-ahli dan keluarga masing-masing.

    Setiausaha kumpulan berkenaan, Haji Sheikh Abdullah bin Haji Sheikh Yahya memberitahu bahawa majlis sambutan pada tahun ini telah mengundang seramai 20 orang anak yatim yang terdiri daripada ahli keluarga dan yang tinggal di sekitar kampung berdekatan.

    Majlis diselajurkan dengan bacaan Doa Selamat dan penyampaian sumbangan derma bagi ahli-ahli yang akan menunaikan fardu haji tahun ini dan sumbangan derma kepada anak-anak yatim.

    Alumni penuntut-penuntut pengambilan pertama Aliran Inggeris Sekolah Menengah SMJA 1975 bergambar ramai pada Majlis Silaturahmi Aidilfitri. – Gambar oleh Noorhamizan Haji Mohd
    Dayangku Hajah Nooramaliatifah semasa menyaksikan persembahan sempena Sambutan Hari Raya Sekolah Menengah (SM) Sayyidina Husain.

    Manakala itu, Sekolah Menengah (SM) Sayyidina Husain turut mengadakan majlis serupa di dewan sekolah berkenaan pagi tadi.

    Hadir di majlis itu ialah Pengetua Sekolah tersebut, Dayangku Hajah Nooramaliatifah binti Pengiran Haji Ahmad; Timbalan Pengetua Akademik, Hajah Norinah binti Haji Mokkim; Timbalan Pengetua Pentadbiran, Hajah Juridah binti Haji Tamin serta guru-guru dan pegawai serta kakitangan sekolah berkenaan.

    Sambutan anjuran Jabatan Bahasa Melayu, Melayu Islam Beraja dan Sastera sekolah tersebut telah diisikan dengan pelbagai persembahan menarik seperti persembahan menambang syair, nyanyian medley lagu Hari Raya, persembahan sketsa raya, tayangan video ucapan Hari Raya, undian sampul raya dan banyak lagi.

    Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri tersebut merupakan salah satu aktiviti tahunan sekolah berkenaan bagi memeriahkan lagi bulan Syawal dan untuk bermaaf-maafan serta mengeratkan hubungan silaturahim kalangan warga sekolah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda